Kerajaan Kedah mohon maaf isu 'wira Jepun'

Mohd Asmirul Anuar (tengah) pada sidang media, hari ini.
Mohd Asmirul Anuar (tengah) pada sidang media, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah memohon maaf atas kesilapan teknikal perkataan ‘wira Jepun’ pada kain rentang promosi perasmian memorial tugu peringatan Jepun, yang mencetuskan kontroversi.

Exco Pelancongan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, bahan promosi terbabit disediakan pihak Konsulat Jepun yang kemungkinan kurang arif berhubung penggunaan perkataan yang sesuai apabila mereka merujuk kepada versi sejarah Jepun berkaitan tugu terbabit.

Menurutnya, pihaknya tidak pernah menganggap tiga askar Jepun yang terkorban itu sebagai wira, namun isu itu sengaja dimanipulasi pihak tertentu untuk meraih populariti politik.

“Saya dan penganjur program, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) dan Lembaga Muzium Negeri Kedah mohon maaf atas kesilapan teknikal itu. Wira itu versi Jepun, bagi kita mereka hanya askar Jepun yang mati dalam peperangan,” katanya, pada sidang media, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PSMCK, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof dan Pengarah Lembaga Muzium Kedah, Suhaidi Shukri.

Mohd Asmirul Anuar berkata, papan informasi tertulis ‘wira’ sudah ditanggalkan petang semalam, dan akan digantikan dengan perkataan askar, setelah dibuat pembetulan.

“Kita akan tambah perkataan anti peperangan dalam mempromosi nilai keharmonian dan keamanan pada papan informasi itu. Sepatutnya, sebelum papan informasi itu dipasang, kontraktor tunjukkan terlebih dahulu pada saya namun mereka tidak berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, tugu terbabit adalah peninggalan sejarah Kedah dan wajar dipulihara untuk tatapan generasi akan datang walaupun ia merupakan artifak hasil penjajahan negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Tugu itu tidak perlu dirobohkan kerana ia peninggalan sejarah. Kita benarkan Konsulat Jepun perindahkan kawasan agar kekal sebagai bahan sejarah sahaja, bukan untuk agungkan askar itu. Mereka mohon baik pulih tahun lalu, dan kita benarkan daripada dibiarkan semak dan tidak terjaga,” katanya.

Mohd Asmirul Anuar berkata, pihaknya hanya beri tumpuan kepada potensi pelancongan yang boleh diraih daripada tugu terbabit, terutama daripada pelancong Jepun mahupun domestik.

“Kami anggap apa yang berlaku sebagai promosi percuma kepada Kedah, hasil kontroversi ini menyebabkan tempat itu dikunjungi termasuk datang ke Kedah. Ini juga antara usaha memeriahkan kawasan sekitar Pekan Cina dan Pekan Melayu berdekatan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Bukan iktiraf tentera Jepun sebagai wira

Menurutnya, sejak PH mentadbir Kedah, pihaknya melakukan pelbagai usaha membaik pulih tempat tinggalan sejarah termasuk makam lama dan kubu British.

“Kerajaan negeri mahu angkat nilai sejarah Kedah yang sebelum ini dipinggirkan, seperti makam Almarhum Sultan Muhyidin Mansor Shah (Sultan ke-14) di Kampung Chegar siap dibaik pulih, termasuk pahlawan dan pejuang kemerdekaan yang gugur, mereka lah wira Kedah,” katanya.

Mohd Asmirul Anuar berkata, ini antara usaha agar rakyat celik sejarah Kedah, selain mengenali wira Kedah yang berjuang demi mempertahankan negeri.

“Jangan ganggu usaha baik kami, tinggalan sejarah wajar kita pulihara, negeri lain juga lakukan perkara sama namun tidak dijadikan isu, antaranya Kota A Famosa di Melaka binaan Portugis,” katanya.

Menurutnya, pejabat Konsulat Jepun di Pulau Pinang telah memulihkan tugu peringatan setinggi 1.8 meter, bagi mengenang kejayaan Komandan Platun Leftenan Hajima Asahi dan dua askar Jepun lain.

“Batu tanda tiga bahasa bersebelahan tapak tugu peringatan itu bagi mengenang mereka yang terkorban ketika cuba menakluk Alor Setar ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu dan Borneo, pada 13 Disember 1941,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!