Harga barang keperluan di Perlis terkawal

Harga barangan keperluan di Perlis berada dalam keadaan terkawal dan tidak menunjukkan kenaikan sehingga membebankan pengguna, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. - Foto Bernama
Harga barangan keperluan di Perlis berada dalam keadaan terkawal dan tidak menunjukkan kenaikan sehingga membebankan pengguna, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. - Foto Bernama
A
A
A

ARAU - Harga barangan keperluan di Perlis berada dalam keadaan terkawal dan tidak menunjukkan kenaikan sehingga membebankan pengguna, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Exco Penjaja dan Peniaga Kecil Perlis Azizan Sulaiman berkata, selain itu bekalan barangan keperluan di negeri itu, juga masih mencukupi bagi memudahkan pengguna membuat persediaan pada musim perayaan ini.

Azizan berkata, sepanjang tempoh dua minggu kebelakangan ini juga, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berhubung permasalahan itu, malah kebanyakan peniaga didapati mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Terdapat juga peniaga yang didapati menjual barang keperluan dengan lebih murah berbanding harga siling atau kawalan ditetapkan oleh kerajaan dan ini adalah satu perkembangan positif menjelang musim perayaan ini,” katanya selepas mengikuti pemeriksaan dan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 (SHMMP HRP), di Pasar Raya C-Mart, di sini pada Khamis.

Katanya, SHMMP HRP merupakan sebahagian usaha KPDNHEP untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan bekalan mencukupi sewaktu musim perayaan ini.

Tambah beliau, tindakan tegas juga akan diambil oleh KPDNHEP terhadap mana-mana peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.

"Sekiranya ada berlaku masalah kenaikan harga barangan yang disenaraikan di bawah pelaksanaan skim ini, orang ramai boleh membuat aduan di Tribunal KPDNHEP yang sentiasa memantau mengenai permasalahan yang berlaku,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!