300,000 rakyat Indonesia dijangka masuk ke Malaysia
JOHOR BAHRU - Lebih 300,000 rakyat Indonesia akan masuk Malaysia selepas sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, mereka akan masuk secara berperingkat-peringkat bagi mengisi kekosongan pekerjaan yang terdapat di negara ini ketika ini.
Beliau memberitahu, jumlah tersebut dijangka bertambah mengikut permintaan pasaran kerja di Malaysia yang sedang mengalami kekurangan tenaga kerja asing.
"Jumlah 300,000 itu berdasarkan anggaran warganegara Indonesia yang pulang ke tanah air mereka sepanjang tempoh penutupan sempadan antarabangsa Malaysia sebelum ini.
"Sehubungan itu, kita menasihati semua rakyat Indonesia untuk menggunakan saluran yang betul dan bukan berhijrah ke negara ini sebagai PATI (pendatang asing tanpa izin)," katanya kepada pemberita selepas meninjau warga Indonesia balik kampung di Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut di sini, pada Khamis.
Katanya, peringatan itu harus diberikan kerana masih ramai pihak yang merisikokan keselamatan diri mereka dengan menaiki bot-bot kecil dan menggunakan laluan tikus masuk ke negara ini.
Menurutnya, jika rakyat Indonesia datang ke negara ini dan menjadi PATI, banyak masalah akan timbul selain menjadi persoalan terhadap hubungan antara kedua-dua negara.
"Ini kerana saya yakin Malaysia amat mengalu-alukan tenaga kerja Indonesia tetapi mestilah menggunakan saluran yang betul mengikut undang-undang," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan semua penerbangan dan juga perkhidmatan feri dari Malaysia menuju ke Indonesia penuh ketika ini dengan majoritinya pulang bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga.
"Saya difahamkan semua penerbangan ke Indonesia ketika ini penuh, begitu juga dengan pengangkutan feri, sama ada di Stulang Laut di sini ataupun di Terminal Feri Pasir Gudang.
"Namun trend ini dijangka semakin berkurangan kerana majoriti mereka sudah pulang sebelum ketibaan Ramadan lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!