Murid gadai nyawa seberang sungai guna rakit, 'zip line' di Nabawan

Murid terpaksa menyeberang sungai dengan menggunakan rakit dan 'zip line' untuk ke sekolah.
Murid terpaksa menyeberang sungai dengan menggunakan rakit dan 'zip line' untuk ke sekolah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kira-kira 50 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan dan SK Layon, Nabawan terpaksa bergadai nyawa dengan menyeberang sungai menggunakan rakit atau 'zip line' untuk ke sekolah sejak dua bulan lalu.

Keadaan itu berlaku susulan jambatan gantung yang menjadi penghubung utama penduduk terutama murid sekolah putus akibat dilanda banjir pada Mac lalu.

Jurucakap mewakili penduduk Kampung Pangaraan, Zazila Roslan, 30, berkata, keadaan itu berlanjutan sejak kawasan terbabit dilanda banjir.

"Penduduk di kawasan ini terputus laluan untuk ke Sook atau Keningau berikutan banyak jalan rosak termasuk jambatan gantung, berlaku tanah runtuh dan sebagainya.

"Akibat kejadian itu, murid mengalami kesukaran di mana mereka terpaksa menggunakan rakit atau zip line untuk ke sekolah yang terletak di seberang sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkaitan supaya disediakan bot untuk kegunaan murid berkenaan.

"Penduduk mula tidak senang hati dengan keadaan ini menyebabkan saya terpaksa mengambil tindakan untuk tularkan video murid yang sedang menyeberang sungai dengan menggunakan rakit.

"Sudah tentu keadaan ini mendatangkan bahaya kepada murid sekolah terutama ketika air sungai naik dan baru-baru ini kawasan ini dilanda banjir sekali lagi," katanya.

Sehubungan itu, Zazila yang juga seorang sukarelawan berharap pihak berkaitan termasuk wakil rakyat dapat mengambil perhatian perkara itu demi keselamatan murid serta kemudahan untuk penduduk.

"Selepas masuk ke kampung ini, ada pelbagai masalah yang kami temui termasuk ada yang terpaksa bersalin sendiri, mengalami masalah kesihatan seperti telinga berulat dan kehabisan bekalan makanan.

"Ini kerana laluan keluar masuk tidak dapat digunakan dan ada antara mereka terpaksa berjalan kaki sejauh lebih 20 jam atau dua hari untuk sampai ke Pekan Sook," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!