Bantah tindakan kasari mahasiswa

Nor Aieni
Nor Aieni
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam (JKNCR) membantah tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengasari sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, mahasiswa merupakan generasi masa hadapan yang perlu dibimbing secara berhemah, dan bukan menerusi kekerasan yang boleh menjadi contoh tidak baik kepada masyarakat khususnya anak muda.

Menurutnya, sebagai sebuah negara majmuk, kita harus saling menghormati dan meraikan perbezaan pendapat di kalangan komuniti masyarakat khususnya mahasiswa generasi muda.

“Universiti sebagai institusi keilmuan beriltizam untuk melahirkan graduan yang berilmu, berwibawa dan berketerampilan. Universiti juga meraikan hak dan kebebasan mahasiswa untuk menyuarakan pandangan mereka terhadap isu-isu semasa negara.

“JKNCR menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang adil dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak terbabit demi memastikan mahasiswa dapat menyuarakan pendapat tanpa apa-apa gangguan,” katanya yang juga Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu.

Jelas beliau, universiti akan terus melaksanakan amanah untuk mendidik mahasiswa agar mereka lebih berani menyuarakan pandangan demi menyediakan generasi hadapan yang lebih matang, bertamadun dan bijaksana.

Oleh itu, pastinya semua universiti tidak akan berkompromi dengan kekerasan fizikal dan aspek keselamatan warganya.

“Dalam konteks sebuah institusi ilmu dan dalam menjadikan universiti sebagai medan ilmu terbuka, kefahaman ‘agree to disagree’ harus dijadikan teras agar universiti kekal dengan peranannya sebagai medan penyebar ilmu dan kebenaran. Ini juga adalah teras kepada kebebasan bersuara yang diamalkan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sendiri telah menekankan betapa pentingnya di era Malaysia Baharu ini, universiti harus memainkan peranan sebagai sebuah medan intelektual terbuka dan memberi hak yang saksama kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan pegangan politik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!