Hanya 10 peratus anggota, pegawai polis dibenarkan cuti raya
KUALA LUMPUR - Hanya 10 peratus daripada lebih 9,000 anggota dan pegawai polis bagi Kontinjen Kuala Lumpur yang dibenarkan bercuti bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, penguatkuasaan dan pemantauan termasuk melibatkan Op Selamat dan Ops Pencegahan Jenayah akan dijalankan seperti biasa.
"Jumlah keseluruhan anggota dan pegawai polis bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya lebih 9,000 manakala bagi Kuala Lumpur sahaja terdapat kira-kira 670 anggota dan pegawai.
"Untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ini hanya 10 peratus yang dibenarkan bercuti manakala selebihnya akan bertugas seperti biasa," katanya.
Beliau berkata demikian Majlis Pelancaran Op Selamat di Balai Trafik Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga keselamatan diri, harta benda sebelum dan ketika pulang ke kampung.
"Paling penting apa yang perlu dilakukan adalah mengisi borang maklumat pulang kampung dan serahkan kepada polis.
"Selain itu, pastikan sepanjang ketiadaan kita di rumah dimaklumkan juga kepada jiran-jiran berhampiran yang mana tidak pulang ke kampung, sekali gus memastikan ketiadaan kita diketahui jiran tetangga," ujarnya.
Dalam pada itu, Azmi turut menasihatkan orang ramai agar terus memberi kerja sama dalam memastikan usaha menangani penularan wabak Covid-19 dapat diteruskan.
"Memang benar beberapa kelonggaran telah diberikan, namun saya harap kita jangan leka, kekalkan jarak dan lakukan segala usaha secara bersama untuk pastikan penularan wabak Covid-19 ini dapat dikawal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!