78 lokasi panas kemalangan di Kelantan

Zainal (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan RM3,000 kepada Shaniza Shaari iaitu balu anggota bomba Allahyarham Mohd Zuki.
Zainal (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan RM3,000 kepada Shaniza Shaari iaitu balu anggota bomba Allahyarham Mohd Zuki.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan 78 lokasi panas berlaku kemalangan di negeri ini pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, lokasi panas paling tinggi membabitkan 15 kawasan yang dikenal pasti di daerah Gua Musang.

"Ia diikuti di Kuala Krai melibatkan 14 lokasi, Tumpat (10), Pasir Puteh (sembilan), Tanah Merah (tujuh), masing-masing lima di Bachok; Pasir Mas; Kota Bharu dan Pasir Mas manakala Machang dan Rantau Panjang (tiga) dan Jeli (2)," katanya kepada pemberita pada Program Kesiapsiagaan Operasi Musim Perayaan dan Op Ronda Raya di Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong di sini, pada Khamis.

Katanya, bagi persediaan musim perayaan, seramai 788 jumlah anggota bertugas manakala 20 peratus lagi dibenarkan bercuti.

“Anggota ditugaskan membuat rondaan di kawasan 'hot spot; kemalangan jalan raya, misalnya di jalan raya di Jeli - Gerik Batu 10 dan 14 serta Jalan Jeli Gerik di Hentian Damai dua kali sehari bagi memastikan bantuan segera tiba jika berlaku kemalangan,” katanya

Sebelum itu turut diadakan Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkenaan serta penyampaian sumbangan RM3,000 kepada Shaniza Shaari iaitu balu anggota bomba Allahyarham Mohd Zuki Abdul Rahman yang meninggal dunia akibat penyakit akibat sakit buah pinggang pada 22 Februari lalu.

Dalam perkembangan lain, Zainal berkata, 367 kes kebakaran direkodkan berlaku di negeri ini membabitkan kerugian lebih RM78 juta bermula Januari sehingga 26 April lalu.

“Kejadian melibatkan pelbagai premis termasuk rumah kediaman di daerah Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

“Punca kebakaran antaranya faktor cuaca selain akibat litar pintas dan kecuaian pengguna yang terlupa memadam api ketika memasak makanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!