Polis kesan saki baki pelarian Rohingya didakwa di Selayang
KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengesan segelintir pelarian etnik Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Kedah yang kini didakwa berada di sekitar Selayang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, usaha mengesan saki baki pelarian tersebut kini sedang giat dijalankan.
"Susulan maklumat diterima yang menyatakan segelintir pelarian etnik Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Kedah kini didakwa berada di sekitar Selayang, usaha giat dijalankan bagi mengesan pelarian ini.
"Antara tindakan yang kita laksanakan termasuk pemantauan dan rondaan di sekitar Pasar Borong Selayang serta kawasan sekitar Selayang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat di Balai Trafik Kuala Lumpur pada Khamis.
Pada Khamis, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menyatakan pihaknya mengesan segelintir pelarian etnik Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Kedah berada di sekitar Selayang.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Imigresen kini sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti lokasi sebenar tahanan berkenaan untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi pada 20 April lalu, seramai 528 tahanan etnik Rohingya dilaporkan melarikan diri dari depot tahanan sementara itu dengan memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang.
Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas jalan raya di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Susulan itu, Polis Kedah telah melancarkan Op Kesan bagi mengesan baki pelarian Rohingya yang melarikan diri selain Op Tutup dengan empat sekatan jalan raya dibuat di Seberang Perai Selatan, empat di Bandar Baharu dan lima di Kulim, Kedah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 dan 147 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!