Pendaftaran fizikal sekolah khusus 13-16 Mei

Mohd Radzi Md Jidin ketika sidang media khas di Auditorium Kompleks E, pada Khamis. - Foto Bernama
Mohd Radzi Md Jidin ketika sidang media khas di Auditorium Kompleks E, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelajar Tingkatan Satu dan Empat yang telah diterima masuk ke sekolah khusus dibenarkan mendaftar secara fizikal bermula 13 hingga 16 Mei ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Mohd Radzi berkata, pendaftaran fizikal itu melibatkan ambilan baharu dan rayuan bagi pelajar Tingkatan Satu dan ambilan rayuan sahaja bagi pelajar Tingkatan Empat.

"Kita beri ruang panjang bagi ibu bapa memilih tarikh sesuai antara empat hari tersebut selain membolehkan mereka membuat persediaan sepatutnya,” katanya dalam sidang media mengenai pengoperasian sekolah di sini, pada Khamis.'

Beliau berkata, antara prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan asrama ialah hanya murid yang sihat dan tidak bergejala dibenarkan kembali ke asrama dan murid yang bergejala semasa pendaftaran masuk atau berada di asrama perlu melaksanakan ujian kendiri Covid-19.

"Jika negatif, perlu pakai pelitup muka sepanjang masa dan sekiranya positif, mereka perlu menjalankan pengasingan di bilik isolasi asrama atau dibawa pulang oleh ibu bapa,” katanya dan menambah aktiviti riadah secara fizikal turut dibenarkan.

Mohd Radzi turut mengumumkan aktiviti melawat anak di asrama dibenarkan dan begitu juga aktiviti outing dan pulang bermalam ke rumah masing-masing.

Kementerian Pendidikan sebelum ini melarang penjaga atau ibu bapa melawat anak mereka di sekolah berasrama bertujuan mengekang penularan Covid-19.

Mengenai rayuan kemasukan sekolah khusus bagi Tingkatan Satu dan Empat, Radzi berkata keputusan rayuan boleh disemak esok (29 April).

Sekolah khusus terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional dan Maktab Tentera Diraja. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!