OKU, individu masalah kesihatan guna PMA lintas jalan tidak disaman
PUTRAJAYA - Pihak berkuasa tidak akan mengeluarkan saman terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) dan individu mempunyai masalah kesihatan yang menggunakan Personal Mobility Aids (PMA) di lintasan pejalan kaki di jalan raya bagi tujuan melintas jalan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat mengambil kira keperluan OKU yang menggunakan kenderaan mikromobiliti PMA seperti kerusi roda berkuasa elektrik dan bateri sebagai alat bantuan untuk bergerak.
"Saya beri jaminan bahawa pihak berkuasa tidak akan keluarkan saman terhadap golongan OKU.
"Ini kerana kita faham, golongan OKU dan individu yang ada masalah kesihatan perlukan alat bantuan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan OKU di pejabatnya di sini, pada Khamis.
Pengumuman Ka Siong pada Selasa lepas berhubung larangan serta-merta terhadap penggunaan kenderaan mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan PMA di atas jalan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan OKU.
Susulan itu, Ka Siong mengadakan sesi libat urus bersama lima wakil daripada persatuan OKU, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan selama hampir dua jam hari ini bagi menerangkan pelaksanaan larangan tersebut secara terperinci.
Bagi membolehkan pihaknya memahami keperluan OKU dan mengelak salah faham pada masa hadapan, Wee berkata wakil OKU akan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah MIROS dalam masa terdekat dan beliau telah meminta Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi untuk mengemukakan nama calon kepadanya selewat-lewatnya selepas Aidilfitri.
Sementara itu, Ras Adiba yang mewakili semua persatuan terbabit melahirkan kelegaan terhadap penerangan yang diberikan Wee berhubung pelaksanaan larangan tersebut.
"Terima kasih Datuk Seri (Ka Siong) kerana telah terangkan dengan jelas kepada kami. Sebelum ini kami keliru berhubung larangan ini. Bila sudah faham, kami rasa lega dan kami juga difahamkan bahawa OKU tidak akan disaman kalau lintas jalan menggunakan kerusi roda,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ka Siong turut mengumumkan pemberian insentif Pengecualian Bayaran Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) kepada individu yang menjaga OKU.
"Sebelum ini kita berikan kepada OKU sahaja, tapi kita juga akan kecualikan kepada mereka yang jaga OKU yang guna kenderaan mereka untuk mudahkan pergerakan OKU di bawah jagaan mereka,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!