Noraini ziarah keluarga Allahyarham Husna Solehah

Noraini
Noraini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Khamis meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Husna Solehah Mohd Salleh di Ipoh, Perak iaitu penuntut Malaysia yang meninggal dunia di Mesir pada 22 April lepas.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Noraini memaklumkan bahawa Allahyarham Husna Solehah, 21, merupakan penuntut tahun tiga dalam bidang pergigian di Universiti Alexandria, Mesir.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, Husna Solehah telah dikejarkan ke Hospital Sahla, Mesir kerana sesak nafas dan kandungan oksigen yang rendah di dalam darah manakala pemeriksaan lanjut mendapati Allahyarham dijangkiti tuberculosis atau tibi aktif.

"Mewakili Keluarga KPT (Kementerian Pengajian Tinggi), saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah khsususnya kepada kedua ibu bapanya, Encik Mohd Salleh Daud dan Puan Hasmah Ibrahim.

"Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama dengan insan beriman. Amin. Al-Fatihah,” katanya dengan tanda pagar #KPTPrihatin, #IPTPrihatin, #RakyatDiHatiSiswa, #SiswaBersamaRakyat dan #KeluargaMalaysia.

Pada 23 April lepas, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilapor memaklumkan bahawa jenazah Husna Solehah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Malaysia di Kaherah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!