MRT CORP mulakan proses tender MRT3 pada Mei
KUALA LUMPUR - Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mempelawa syarikat yang berpotensi untuk mengambil bahagian dalam permintaan untuk cadangan (RFP) bagi pakej kerja perkhidmatan perundingan pengurusan projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
"Ini merupakan tender pertama yang ditawarkan untuk pembinaan Laluan Lingkaran MRT sepanjang 51 kilometer yang mendapat kebenaran kerajaan pada 4 Mac 2022.
"Proses tender akan bermula pada Mei 2022,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada 15 Mac, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan pembinaan projek Laluan Lingkaran MRT3 akan melibatkan lima pakej kerja iaitu perundingan pengurusan projek, tiga kerja-kerja sivil dan satu pakej kerja-kerja sistem.
MRT Corp berkata, RFP terbuka kepada syarikat yang berpengalaman dalam menguruskan sekurang-kurangnya satu projek kereta api dengan nilai agregat minimum RM1 bilion, sama ada di Malaysia atau di luar negara.
"Projek tersebut juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua daripada tiga elemen berikut - stesen bertingkat dan jejambat, stesen bawah tanah dan terowong atau sistem kereta api,” katanya.
Katanya, syarikat boleh membentuk usaha sama (JV) atau konsortium tidak lebih daripada tiga ahli untuk mengambil bahagian dalam RFP.
"RFP terbuka kepada syarikat Malaysia manakala penyertaan asing minoriti dibenarkan melalui JV atau konsortium iaitu syarikat Malaysia memegang sekurang-kurangnya 60 peratus daripada ekuiti,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, perunding pengurusan projek (PMC) akan membantu syarikat menguruskan projek Laluan Lingkaran MRT3 dan akan bertanggungjawab untuk pelaksanaan projek itu tepat pada masanya dalam bajet yang ditetapkan.
"Selain membantu MRT Corp, kami turut menjangka PMC akan memenuhi keperluan kontraktor pakej kerja sivil dan sistem juga, supaya kami dapat bekerjasama dengan berkesan untuk melaksanakan projek itu,” katanya.
MRT Corp berkata maklumat mengenai kriteria untuk mengambil bahagian dalam RFP akan diberikan dalam notis mengenai RFP, yang akan diiklankan di beberapa akhbar mulai 29 April di laman web syarikat, www.mymrt.com.my dan saluran media sosial (@MRTMalaysia).
"Pendaftaran akan dibuka pada 29 April dan ia boleh dilakukan dalam talian melalui pautan atau dengan mengimbas kod QR yang diberikan dalam notis RFP dan syarikat yang berminat perlu mendaftar untuk taklimat mandatori yang akan diadakan pada 13 Mei.
"Syarikat yang gagal untuk mendaftar tidak akan dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam RFP,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!