Ringgit ditutup rendah
KUALA LUMPUR - Ringgit ditutup rendah pada Khamis berikutan pelabur terus memindahkan dana ke tempat selamat berikutan turun naik yang berpanjangan di tengah-tengah lebih banyak bank pusat cenderung untuk menaikkan kadar faedah berikutan peningkatan inflasi.
Tumpuan hari ini adalah pada keputusan Bank Of Japan (BOJ) mengenai dasar monetarinya.
Ia bertentangan dengan arah aliran global dengan mengekalkan dasar kadar faedah negatifnya sebanyak -0.1 peratus dan mengekalkan pembelian Bon Kerajaan Jepun (JGB) bagi memastikan kadar hasil 10 tahun kekal hampir sifar.
Ia menyebabkan yen melemah sebanyak 1.66 peratus kepada 130.56 ketika ini, serentak dengan mata wang Asia yang lain apabila mata wang mereka jatuh berbanding dolar AS (Amerika Syarikat).
Pada 6 petang, unit tempatan itu jatuh kepada 4.3630/3650 berbanding dolar AS ketika ditutup 4.3565/3605 pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit melepasi paras rintangan segera pada 4.35.
"Ringgit sudah berada dalam kedudukan terlebih jual, menunjukkan bahawa risiko penurunan selanjutnya mungkin dihadkan.
"Peserta pasaran mungkin telah diberi harga sepenuhnya dalam jangkaan kenaikan 50 mata asas dalam Kadar Dana Fed minggu depan apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan bersidang semula pada 3 dan 4 Mei," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit meningkat berbanding kumpulan mata wang utama untuk diniagakan lebih tinggi pada penutup dagangan.
Unit tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3412/3430 daripada 3.4056/4090 ketika ditutup pada Rabu dan menokok berbanding euro kepada 4.5894/5915 daripada 4.6236/6278 semalam.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1488/1507 daripada 3.1592/1625 ketika ditutup semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4590/4615 daripada 5.4844/4894 sebelumnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!