Kuala Kubu Bharu dalam penilaian sebagai tapak warisan

Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor kini sedang dalam penilaian untuk diangkat sebagai warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebelum dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penilaian itu sedang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Warisan Negara, kerajaan negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi berkaitan.

"Jabatan Warisan Negara telah mengambil usaha untuk mengangkat tapak warisan yang memenuhi kriteria bagi pengiktirafan antarabangsa terutama sekali di peringkat UNESCO.

"Setakat ini, empat tapak telah mendapat pengiktirafan UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Taman Kinabalu, Sabah; Bandar Warisan Dunia Melaka dan George Town, selain Tapak Arkeologi Lembah Lenggong, Perak," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) yang ingin tahu perkembangan terkini dalam rancangan menjadikan Kuala Kubu Bharu sebagai salah satu tapak warisan dunia UNESCO.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata bagi mempromosikan tapak-tapak Warisan Dunia UNESCO di Malaysia, kementerian telah melaksanakan beberapa usaha untuk menggalakkan kedatangan pelancong antaranya program 'Mega Familiarization' dengan mempelawa wakil-wakil media dan para pengusaha pelancongan antarabangsa menyertai acara-acara pelancongan di tapak warisan UNESCO untuk dipromosi di luar negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!