Lebih tiga juta hidangan berbuka puasa di Masjidil Haram
MAKKAH - Lebih tiga juta juadah berbuka puasa dihidangkan di Masjidil Haram, Makkah untuk umat Islam berbuka puasa sepanjang hari dalam tempoh 20 hari pertama bulan Ramadan tahun ini, lapor sebuah akhbar Arab Saudi baru-baru ini.
Penyediaan makanan itu dilakukan oleh badan-badan amal, lapor akhbar dalam talian, Sabq.
Ratusan pekerja termasuk 100 daripada Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci mengawasi penyediaan kira-kira 150,000 hidangan sehari, kata ketua pengurusan pekarangan masjid itu, Moussa Mohammed.
Kira-kira 67 buah badan amal terlibat dalam menyediakan makanan tersebut manakala tapak berbuka puasa di halaman masjid ditentukan melalui penyelarasan dengan agensi keselamatan, kata pegawai berkenaan.
“Ia mengambil kira laluan untuk membolehkan pergerakan lancar para pejalan kaki dan orang cacat fizikal serta kereta membawa jemaah. Tempat untuk lelaki dan wanita juga diasingkan berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbiran,” jelasnya.
Umat Islam dilarang makan, minum dan merokok pada setiap hari dari subuh hingga senja pada bulan Ramadan.
Pihak berkuasa Saudi telah bersiap sedia untuk melayani jemaah masjid tersebut pada bulan Ramadan ketika sekatan anti-Covid-19 telah dilonggarkan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!