Lelaki disyaki dera dua anak tiri ditahan polis
ALOR SETAR - Polis menahan lelaki yang disyaki mendera dua anak tirinya berusia lapan dan enam tahun di Jalan Sungai Petani, dekat sini pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, tangkapan berjaya dilakukan pada jam 3.30 petang.
"Ujian urin yang dilakukan terhadap suspek berusia 33 tahun ini didapati positif methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan kesan lebam pada tangan seorang murid perempuan berusia lapan tahun di sebuah sekolah rendah di Alor Setar membongkar kisah dirinya yang didakwa telah didera oleh bapa tirinya.
Keadaan murid tersebut kemudiannya dimaklumkan seorang guru kepada guru kaunseling dan pentadbiran sekolah sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Setar.
Laporan polis dibuat oleh JKM Alor Setar pada Rabu berhubung kejadian tersebut sebelum polis memburu suspek.
Adik kepada mangsa yang berusia enam tahun juga disyaki turut didera oleh bapa tirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!