Ratu pecut Vietnam tidak bertanding di Hanoi 2021
RATU pecut Vietnam, Le Tu Chinch, terpaksa melupakan hasrat mempertahankan pingat emas 100 meter (m) di laman sendiri, akibat kecederaan meniskus semasa latihan di Ho Chi Minh (HCM) City dua minggu lalu.
Menurut Vietnam News Agency, atlet berusia 25 tahun itu dikeluarkan daripada temasya dwitahunan itu, dijadualkan pada 12 hingga 23 Mei ini, sekali gus terlepas peluang untuk meraih kemenangan hatrik acara blue ribbon itu.
“Saya telah membawa beliau ke hospital-hospital berbeza di HCM City dan Hanoi untuk pemeriksaan. Menurut doktor beliau memerlukan pembedahan dan tidak akan bertanding pada Sukan SEA,” jurulatih Le, Nguyen Thi Thanh Huong, dilaporkan berkata.
Le mula mencipta nama ketika penampilan pertama di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan mengungguli acara 100m, 200m dan 4x100m.
Beliau mempertahankan gelaran Ratu Pecut Asia Tenggara pada Sukan SEA 2019 di Filipina dengan catatan masa 11.54 saat.
Vietnam menyasarkan antara 15 hingga 17 emas bagi mempertahankan gelaran juara acara olahraga temasya itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!