Hospital Sungai Buloh mula terima kembali pesakit bukan Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju untuk menukar kembali status Hospital Sungai Buloh kepada hospital perubatan bukan Covid-19 seperti sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia dilakukan setelah mengambil kira situasi terkini pandemik Covid-19 di Malaysia terutama kes kategori tiga, empat dan lima serta kadar penggunaan fasiliti kesihatan khusus untuk kes Covid-19 yang rendah di Lembah Klang.

"Selepas ini. perkhidmatan hospital ini ditukar kepada status hibrid dan akan merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 seperti dahulu selaras dengan keadaan negara yang dalam Fasa Peralihan Ke Endemik seperti diumumkan sebelum ini.

"Namun KKM akan sentiasa memantau dan bersiap sedia dalam menyediakan perkhidmatan perubatan bagi kes-kes Covid-19 termasuk rawatan kritikal jika berlaku peningkatan kes Covid-19 di negara ini,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada 10 Mac 2020, Hospital Sungai Buloh diwartakan sebagai hospital bagi rawatan khusus untuk pesakit Covid-19 sebagai langkah strategik bagi menampung keperluan katil hospital dan juga pengurusan hospital yang optimum dalam memerangi pandemik itu.

Pada kemuncak operasinya, Hospital Sungai Buloh mampu menampung lebih 2,000 pesakit Covid-19 pada satu-satu masa dan sehingga semalam, seramai 92,874 pesakit Covid-19 telah dirawat di hospital itu sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di seluruh negara terutama di Hospital Sungai Buloh yang memberikan komitmen jitu dan perkhidmatan kesihatan terbaik sepanjang pandemik Covid-19. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!