Kemelut ketum, antara bisnes dan perundangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

WALAUPUN ada yang mengatakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor suka mencari publisiti dengan kenyataan kontroversinya sejak dilantik menerajui Kedah, namun ada asasnya kata-kata yang beliau lontarkan berkaitan isu ketum.

Jika sebelum ini, selorohnya sering dijadikan bahan ketawa bermula daripada isu Thaipusam, kontena jenazah atau perang mulut isu bekalan air dengan Pulau Pinang, kali ini selorohnya nampak lebih serius dan menggegarkan negara.

Kedah sememangnya dipenuhi kehijauan sama ada sawah padi atau hutan belantara, sekelompok kecil bumi Kedah ini ditumbuhi pokok herba bermutu tinggi yang hidup subur iaitu pokok ketum.

Kedah antara negeri memiliki ladang ketum yang luas sehingga 115 hektar, sebahagian besar adalah di daerah Padang Terap.

Terdapat 47,500 pokok ketum di Padang Terap, manakala di Pendang sekitar 30,000 pokok. Daerah Sik pula terdapat 3,300 pokok dan Baling sebanyak 1,000 pokok ketum, manakala di Kulim (1,310 pokok) serta Langkawi 670 pokok ketum. Bermakna keluasan ladang ketum mengatasi keluasan tanaman buah-buahan.

Secara logiknya, takkan pula kita mahu musnahkan tanaman ini sedangkan dunia memperakui manfaatnya dalam sektor perubatan. Ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar pula.

Bukankah lebih baik kita fikirkan cara terbaik untuk manfaatkan apa yang ada di depan mata, namun mengikut ketetapan perundangan negara. Sekiranya ia salah di sisi undang-undang, eloklah diperhalusi semula bidang kuasa perundangan agar dapat mengawal penyalahgunaan ketum dan pada masa sama memanfaatkan ia untuk kebaikan.

Cadangan Sanusi hanyalah untuk mengeksport daun ketum segar ke negara yang memiliki teknologi perubatan menghasilkan ubat herba, bukan untuk komersilkan ketum dalam negara. Itu mungkin satu permulaan yang baik membanteras penyeludupan ketum ke negara jiran yang mana mereka pula mengaut keuntungan daripada aktiviti tersebut.

Mungkin kita perlu gubal akta baharu khusus berkaitan ketum agar dapat mengawal penanamannya hingga kepada menuai untuk kegunaan eksport. Selepas beberapa tahun mengeksport, mungkin kita dapat bawa teknologi perubatan itu ke dalam negara pula.

Tak mustahil sekiranya industri ketum dihalalkan dalam negara, Malaysia khususnya Kedah mampu muncul sebagai negara pengeluar pil herba bersama negara yang memiliki kepakaran terbabit. Lama-kelamaan pil herba yang diyakini kurang kesan sampingannya kepada kesihatan bakal melonjak permintaannya.

Malah, jangan terkejut jika permintaan pil herba kelak mengatasi permintaan pil sintetik lain. Ia merupakan satu industri besar dan berkait pelbagai sektor ekonomi lain.

Ini kerana pasaran ubat herba bernilai RM418.4 bilion pada tahun 2020 dan dijangka meningkat sebanyak 16 peratus setiap tahun. Dianggarkan menjelang tahun 2026, pasaran itu bernilai RM629.2 bilion.

Kajian sudah banyak dilakukan sama ada dalam mahupun luar negara, perbincangan juga sudah lama dibuat termasuk menerusi Parlimen. Namun kesudahannya tetap sama, kaji dan bincang tapi sampai bila?

Jangan tunggu sampai apa yang ada di depan mata dibolot pihak luar yang meraih keuntungan dalam pasaran gelap gara-gara ketum terpaksa diseludup keluar dari negara ini.

Pada 24 April lalu, apa yang dinyatakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin seakan memberi sinar dalam kemelut yang sudah berlarutan lama ini.

Menurut beliau, kabinet tidak mempunyai halangan untuk membenarkan perbincangan mengenai penanaman ketum dan hem bagi tujuan perubatan, dan menyifatkan ‘lampu hijau' itu satu berita baik bagi golongan yang terlibat dalam bidang perubatan.

Sebagai langkah awal, pihaknya akan berbincang dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail yang juga pengamal perubatan turut membangkitkan isu ketum di Parlimen, selain Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu kerajaan mengkaji untuk membenarkan penanaman ganja jenis hemp dan marijuana bagi manfaat perubatan serta ekonomi.

* Roslinda Hashim ialah Wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!