Peluang berkongsi rezeki
SHAH ALAM - Rangkaian pasar raya terbesar dari Asia Barat, Lulu Hypermarket turut sama memeriahkan majlis berbuka puasa dengan sumbangan sebanyak 300 pek makanan untuk Iftar Ala Madinah @Karangkraf pada Rabu.
Pengarah Serantaunya, Asif Moidu Ahamed berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kepada masyarakat.
“Kami juga mahu meraikan golongan yang kurang bernasib baik di samping mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini.
“Selain itu, Lulu Hypermarket turut bertanggungjawab membantu golongan yang memerlukan dan berkongsi kegembiraan dengan orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.
Turut hadir, Pengurus Pemasaran Lulu Hypermarket, Zura Shamsuddin dan Pegawai Bahagian Pembelian Lulu, Fakaruddin Harun.
Selain sumbangan pek makanan, penyertaan Lulu Hypermarket dalam program itu turut melibatkan aktiviti tazkirah, solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah diikuti solat tarawih.
“Program iftar ini sangat bagus dan memberi peluang kepada Lulu Hypermarket berkongsi rezeki dengan orang ramai.
“Aktiviti CSR ini juga adalah satu strategi pemasaran kami supaya mudah dikenali oleh semua golongan,” katanya.
Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf itu diadakan dalam bangunan Kumpulan Karangkraf berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Namun, ia tidak menghalang lebih 800 pengunjung hadir seawal jam 6 petang untuk memeriahkan program berkenaan.
Acara pada petang itu turut diserikan dengan pengisian tazkirah sementara menanti waktu berbuka puasa.
Perancangan
Mengulas mengenai perkembangan terkini Lulu Hypermarket, Asif menjelaskan, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menambah cawangan di beberapa lokasi lagi di seluruh negara.
Menurutnya, antara cawangan yang bakal dibuka dalam masa terdekat ialah di Johor dalam usaha melebarkan sayap ke selatan.
“Itu antara perancangan terdekat kami dan sedang menilai pembukaan cawangan di beberapa tempat lagi pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, katanya, Lulu Hypermarket kini sedang mengadakan promosi pembelian secara dalam talian dan menawarkan penghantaran percuma ke rumah pelanggan sehingga 4 Mei ini.
“Lulu menitikberatkan kepuasan pelanggan selain mementingkan perkhidmatan kami adalah yang terbaik.
“Jadi, kami akan pastikan sentiasa membuat tawaran istimewa dan terbaik kepada pelanggan terutama pada musim perayaan, kembali ke sekolah dan pelbagai lagi,” katanya.
Selain promosi, Lulu Hypermarket turut menganjurkan kempen beli dan menang iaitu pelanggan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Malah, pelanggan juga berpeluang mendapat baucar pulangan tunai sebanyak RM50 apabila berbelanja sehingga RM100 di Lulu Hypermarket menerusi kempen Bayaran Balik Separuh Harga.
“Kami juga menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus di semua bahagian di Bazar Raya Lulu.
“Selain itu, kempen Jadikan Halal Pilihan Utama Anda merupakan kempen yang sedang dilaksanakan oleh Halal Development Corporation dengan kerjasama Lulu Hypermarket,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!