Duit raya dalam bentuk simpanan SSPN

Wan Saiful bergambar bersama penghuni Rumah Kasih Harmoni.
Wan Saiful bergambar bersama penghuni Rumah Kasih Harmoni.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 50 anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni, Taman Keramat di sini menerima sumbangan duit raya berbentuk simpanan di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sumbangan itu diberikan menerusi program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN yang diadakan setiap tahun.

Menurut beliau, sumbangan duit raya berbentuk simpanan itu adalah sebagai galakan penabungan untuk pendidikan dan menjamin masa depan mereka.

“Sebanyak RM100 akan dikreditkan dalam akaun Simpan SSPN Prime penerima melibatkan jumlah keseluruhan duit raya sebanyak RM5,000 kepada penghuni rumah tersebut.

“Mereka juga dibelikan baju raya di Jakel, sumbangan juadah buka puasa dan kuih raya, selain pemberian buku-buku rujukan dan latihan dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM25,000,” katanya pada Program Raikan Syawal bersama anak-anak yatim Rumah Kasih Harmoni, Taman Keramat di sini pada Rabu.

Pada program sama, Wan Saiful turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Rumah Kasih Harmoni bagi menampung keperluan asas dan harian.

“Ini merupakan sumbangan yang boleh memberi manfaat jangka masa panjang kepada mereka. Penyumbang lain yang mahu memberikan sumbangan juga digalakkan untuk memberikan sumbangan berupa pembukaan atau penambahan akaun Simpan SSPN.

“Kaedah simpanan di Simpan SPPN lebih baik kerana menawarkan banyak manfaat termasuk perlindungan takaful dan insentif berbanding pemberian tunai,” katanya.

Beri manfaat

Sementara itu, Penyelia Rumah Kasih Harmoni, Mohd Hafiz Shafie merakamkan penghargaan kepada PTPTN yang menyalurkan sumbangan berbentuk tabungan yang boleh digunakan untuk pendidikan anak-anak jagaan di pusat penjagaan tersebut.

Selain itu katanya, bantuan kewangan RM5,000 yang diterima akan digunakan untuk manfaat penghuni pusat jagaan yang berusia antara empat tahun hingga 12 tahun.

“Sumbangan yang diterima sedikit sebanyak membantu menampung operasi Rumah Kasih Harmoni dan akan diuruskan sebaiknya untuk kebajikan anak-anak di sini.

Penyerahan sumbangan sebanyak RM5,000 di bawah program CSR PTPTN disampaikan Wan Saiful (kiri) kepada Rumah Kasih Harmoni diwakili Mohd Hafiz.
Penyerahan sumbangan sebanyak RM5,000 di bawah program CSR PTPTN disampaikan Wan Saiful (kiri) kepada Rumah Kasih Harmoni diwakili Mohd Hafiz.

“Alhamdulillah, operasi kami dibantu hasil sumbangan orang ramai dan setakat ini mencukupi bagi menampung perbelanjaan rumah jagaan,” katanya.

Penghuni Rumah Kasih Harmoni, Mohamad Naqib Norlani, 11, meluahkan kegembiraan menerima baju raya jenama Jakel yang dapat dipakai ketika Aidilfitri nanti.

“Raya tahun kali ini lebih semangat selepas dua tahun tidak dapat beraya di samping keluarga disebabkan Covid-19.

“Pemberian baju raya daripada PTPTN pula menambahkan semangat untuk berhari raya. Terima kasih PTPTN,” katanya.

Seorang lagi penghuni Rumah Kasih Harmoni, Putra Izzati Baharuddin, 11, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada PTPTN yang memberikan sumbangan duit raya dan baju raya.

“Terima kasih PTPTN berkongsi rezeki dengan kami. Saya doakan semoga PTPTN terus dimurahkan rezeki supaya dapat terus hulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!