Bersatu sertai 'khemah besar' pakatan politik rapuh: Najib

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

PETALING JAYA - Satu pakatan yang rapuh, tidak selari dari segi ideologi dan juga dasar-dasar utama negara tidak mungkin kekal, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru menurut beliau, bukan mudah bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk berunding dengan mana-mana parti termasuk menyertai agenda ‘khemah besar’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Najib yang juga merupakan bekas Perdana Menteri berkata, ini berdasarkan gabungan parti pembangkang yang membentuk kerajaan sebelum ini terbukti rapuh dan tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Najib (tengah) bersama barisan kepimpinan UMNO Bahagian Petaling Jaya
Najib (tengah) bersama barisan kepimpinan UMNO Bahagian Petaling Jaya

“Itu pilihan dia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tapi kita harus sedar bahawa tak semudahnya dia boleh kerjasama dengan semua pihak. Ini berdasarkan pengalaman di mana PH (Pakatan Harapan) 1.0 dulu.

“Janganlah (pula) jadi PH 2.0, maknanya satu pakatan yang rapuh, satu pakatan yang tidak selari dari segi ideologi dan juga dasar-dasar utama negara, tak mungkin kekal.

“Kalau pun berlaku tapi rakyat mesti faham bahawa masa depan mereka tidak terjamin kalau pakatan (itu) tidak jujur tetapi sebenarnya untuk mengambil kesempatan semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim pada Program Iftar Jama’ei UMNO Bahagian Petaling Jaya di TH Hotel Kelana Jaya di sini pada Khamis malam.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Datuk Mutalif Abdul Rahim.

Pada Ahad lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan parti itu bersedia menyertai agenda ‘khemah besar’ dibawa oleh blok pembangkang, apabila menyatakan kesediaan berunding dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU-15.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerjasama antara parti penting bagi memastikan saingan satu lawan satu dengan BN pada PRU-15 sekali gus mengelak perpecahan undi.

Dalam pada itu, Najib berkata, khemah besar itu tidak lebih sekadar satu gabungan sekadar untuk mengambil kesempatan semata-mata untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

“Ia lebih merupakan satu pakatan yang opurtunistik mengambil kesempatan sahaja semata-mata nak meraih kemenangan.

“Tetapi asas untuk mereka tubuh satu kerajaan yang kukuh, vibal dan meyakinkan tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut percaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang dalam pilihan raya akan datang walaupun bertanding sendiri berdasarkan pengalaman parti itu di Melaka dan Johor.

"Walaupun tentangan mungkin lebih hebat tetapi InsyaALLAH UMNO dan BN akan terus istiqamah dalam perjuangan untuk kemenangan pada masa akan datang," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!