Kelantan sasar sejuta pelancong sepanjang 2022

Md Anizam (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pekerja terbaik bagi bulan April daripada Perbadanan Muzium Negeri Kelantan semasa majlis berbuka puasa bersama media di Kota Darulnaim,
Md Anizam (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pekerja terbaik bagi bulan April daripada Perbadanan Muzium Negeri Kelantan semasa majlis berbuka puasa bersama media di Kota Darulnaim,
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan menyasarkan sejuta pelancong dari dalam dan luar negara akan berkunjung ke negeri itu sepanjang tahun 2022.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Datuk Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman berkata, sasaran itu mampu dicapai selepas kerajaan menetapkan negara ini berada di fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu.

"Ia dikuatkan lagi apabila seluruh sektor termasuk pelancongan sudah mula dibuka secara penuh oleh pihak kerajaan.

"Justeru, kita sangat optimis sasaran untuk menerima kedatangan sejuta pelancong dalam tempoh setahun mampu dicapai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Perbadanan Muzium Negeri Kelantan Bersama Media di Kota Darulnaim pada Khamis.

Menurutnya, kehadiran pelancong ini juga dilihat mampu memulihkan semula ekonomi negeri selepas terkesan akibat serangan Covid-19 sejak Mac 2020.

Beliau berkata, semua hotel-hotel di Kelantan yang sebelum ini terkesan dengan Covid-19 kini sudah mulai penuh dengan tempahan para pelancong.

Md Anizam berkata, kerajaan negeri berharap pintu sempadan di negeri ini dapat dibuka dalam masa terdekat.

"Pembukaan pintu sempadan ini sekali gus membolehkan pelancong antarabangsa khususnya dari Thailand masuk ke Kelantan.

"Melalui cara ini sasaran 1 juta yang ditetapkan itu mampu dicapai dalam tempoh yang singkat," katanya.

Menurutnya, Kelantan sebelum ini dijadikan tempat transit oleh pelancong tempatan dan antarabangsa untuk ke destinasi pelancongan seperti Pulau Perhentian dan sebagainya.

Md Anizam mengakui kepulangan perantau sempena sambutan Aidilfitri juga diharap mampu melonjakkan lagi ekonomi negeri khususnya dalam sektor pelancongan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!