Adab bertandang, jangan ambil remeh
KUALA LUMPUR - Selepas dua tahun tidak dapat melakukan aktiviti ziarah-menziarahi ketika musim perayaan, pastinya Aidilfitri kali ini menjadi tumpuan masyarakat Islam untuk kembali memeriahkan tradisi kunjung-mengunjung yang menjadi amalan selama ini.
Biarpun tidak sabar menanti hari kebesaran bagi umat Islam itu malah mungkin ada yang sudah siap mengatur perancangan untuk menziarahi rumah sanak saudara dan sahabat handai namun ramai sedia maklum akan kepentingan tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ketika negara berada di fasa peralihan ke endemik.
Dalam keseronokan meraikan hari lebaran, perihal adab ketika berkunjung ke rumah orang tidak kira sanak saudara, sahabat handai mahupun jiran tetangga tidak boleh dipandang enteng.
Ini kerana sikap ambil mudah terhadap kepentingan perihal adab ketika berziarah boleh mengundang risiko merosakkan hubungan silaturahim yang terjalin.
Walaupun rumah yang dikunjungi itu adalah milik adik-beradik atau saudara terdekat, adab bertandang tetap perlu dititikberatkan bagi memastikan hubungan kekeluargaan terus terpelihara, demikian menurut pakar pembangunan keluarga dan kasih sayang, Rozieta Shaary atau lebih dikenali sebagai Ibu Rose.
"Sebenarnya tidak boleh ambil mudah (perihal adab bertandang). Betul, boleh jadi pergaduhan kalau kita tidak ambil peduli. Tanggungjawab kita sebagai tetamu adalah memudahkan tuan rumah. Contoh, kita pergi ke rumah ibu saudara kita, jangan kita susahkan dia walaupun kita dah biasa dengan ibu saudara kita tu.
"Jangan kita kata 'alah tak pe, mak cik tak kisah pun.' Memang ibu saudara kita tidak cakap tapi kita sebagai tetamu kena jaga anak-anak kecil kita, jangan buat sepah dan lebih bagus, kita bantu mengemas," katanya ketika dihubungi.
Isu perihal adab ketika bertandang ketika Aidilfitri bukan perkara baharu bahkan ia kerap kali menjadi isu pada setiap musim perayaan selain pernah dibangkitkan oleh selebriti terkenal Datuk Redzuwan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan yang menegur sikap sambil lewa ibu bapa kerana tidak menjaga kelakuan anak mereka ketika bertandang ke rumah orang.
Teguran itu juga mendapat pelbagai komen orang ramai yang turut berkongsi pengalaman dengan keletah anak tetamu menjadikan sofa tuan rumah seperti taman permainan mini, mengotorkan meja makan, menjenguk dari bilik ke bilik, mencari permainan dan membuka peti ais tuan rumah serta sikap ibu bapa yang gemar membuang lampin pakai buang anak mereka di dalam tandas tuan rumah.
Mengulas perkara itu, Rozieta berkata, ibu bapa hendaklah memainkan peranan dalam mendidik anak mereka dengan sentiasa memberi pesanan dan ingatan sebelum bertandang ke rumah orang.
Beliau berkata, ibu bapa perlu menyenaraikan perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat semasa berada di rumah orang serta menggunakan perkataan yang baik untuk memberi kefahaman kepada anak mereka.
"Sebelum bertandang, ibu bapa buat satu perjanjian dengan anak-anak tapi jangan ugut mereka. Ibu bapa perlu terangkan jangan kotorkan rumah tetamu, mesti berkelakuan baik, kalau mahu bermain dengan mainan anak tuan rumah kena minta izin dulu dan sebagainya.
"Semasa berada di rumah orang pula, suami isteri mesti bersama perhatikan anak mereka, jangan seorang sahaja. Mata kena 360 darjah perhatikan anak-anak. Satu lagi, ibu bapa muda selalu terlepas pandang bab lampin pakai buang anak. Walaupun dalam tandas tu ada tong sampah, sebaiknya kita bawa plastik siap-siap," katanya.
Rozieta berkata, perihal adab ketika bertandang juga termasuk adab dalam percakapan dengan mengelak daripada bertanyakan soalan sensitif yang boleh mengundang rasa tidak selesa kepada tuan rumah.
"Tak payah nak tanya soalan sensitif seperti bila nak kahwin, bila nak ada anak dan sebagainya... jangan sindir atau kecam badan juga. Cakap perkara yang bagus seperti bertanya khabar dan cerita yang baik memandangkan dua tahun tak dapat ziarah. Kalau ada soalan kita yang buatkan tuan rumah kurang selesa, cepat-cepat minta maaf," katanya.
Beliau berkata, apa yang penting, tetamu dan tuan rumah perlu memainkan peranan masing-masing dalam mewujudkan suasana harmoni iaitu tetamu bertandang dengan niat memudahkan tuan rumah manakala tuan rumah pula menyambut tetamu dengan layanan yang baik dan mesra.
Jangan disebabkan sikap sambil lewa, niat asal hendak kembali mengeratkan hubungan selepas dua tahun tidak dapat bertemu berakhir dengan insiden bermasam muka atau bergaduh selepas bertandang untuk berhari raya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!