8 unit rumah kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SARIKEI - Lapan unit kedai dua tingkat yang menempatkan bengkel kereta, bengkel kimpalan, unit kediaman serta ruang ternakan burung walit, musnah dalam kebakaran di Jalan Industri di sini pada Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, tindakan pantas pihak bomba membolehkan empat unit rumah kedai yang terletak bersebelahan berjaya diselamatkan dalam insiden pada kira-kira jam 7 malam itu.

Beliau berkata, api marak dengan pantas berikutan dinding pemisah ruang dan lantai bangunan itu diperbuat daripada kayu, selain terdapat pelbagai bahan mudah terbakar disimpan di bengkel kereta berkenaan.

"Satu pasukan dari BBP Sarikei dan satu dari BBP Bintangor telah digerakkan ke lokasi sebaik sahaja pihak kami menerima panggilan pada jam 7.31 malam. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.33 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 2.48 pagi,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat..

Menurutnya, sebuah lori skylift milik seorang pengusaha bengkel berdekatan turut sama membantu dalam usaha pemadaman api bagi menghalang kebakaran itu merebak.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!