Air laut berwarna hitam, bau busuk
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kesemua pihak terbabit juga didesak agar mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang menjejaskan lebih 300 nelayan di kawasan itu.
Menurutnya, masalah pencemaran laut itu didapati telah berlarutan sejak lima tahun lalu namun tiada tindakan sewajarnya diambil.
"Nelayan yang terkesan di kawasan berkenaan bimbang terputus mata pencarian berikutan masalah pencemaran laut yang semakin serius berlaku di perairan itu ketika ini.
"Kejadian tersebut yang berlaku sejak lebih lima tahun lalu menyebabkan ikan, udang, ketam, kerang dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama mereka diancam kepupusan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, dalam tinjauan pihaknya mendapati, pencemaran tersebut disebabkan oleh pembuangan sisa kotoran oleh penduduk di beberapa buah kampung dan taman perumahan di kawasan itu.
"Kita bimbang dengan masalah ini dan jika dibiarkan, sungai serta laut di situ akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang. Para nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan di kawasan tersebut akan kehilangan sumber pendapatan untuk menyara kehidupan mereka.
"Oleh itu, CAP menggesa semua pihak berkenaan terutamanya Kerajaan Pulau Pinang dan MBPP menjalankan siasatan secara menyeluruh punca kejadian itu dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.
"Kita juga meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan yang dibuat dan tindakan yang diambil kepada orang ramai khususnya nelayan-nelayan yang terlibat dengan masalah ini secepat mungkin," katanya.
Nelayan, Bakri Bakar, 56, ketika ditemui berkata, bahan kotoran tersebut dibuang ke dalam sungai di sini dan terus ke laut yang mana airnya bertukar warna menjadi hitam dan berbau busuk.
"Sejak ancaman pencemaran itu berlaku, hidupan laut dan hasil tangkapan di sini semakin berkurangan sekali gus menjejaskan sumber pendapatan kami. Kami nelayan di sini kesal kerana masalah ini sudah lama tetapi tiada tindakan bagi mengatasinya oleh pihak berkenaan.
"Perairan 100 meter dari pantai Teluk Kumbar telah tercemar oleh sisa kotoran dan sampah sarap. Bahan itu terdampar di tepi pantai dibawa arus menyebabkan kawasan tersebut berbau busuk yang tidak menyenangkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!