Tuntutan saman penganalisis politik terhadap Khalid Samad ditolak
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat menolak tuntutan saman fitnah dikemukakan penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff terhadap Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad.
Hakim Tuan Zulqarnain Hassan dalam penghakiman ringkasnya menyatakan bahawa pihak defendan iaitu Khalid telah berjaya membuktikan pembelaan komen berpatutan (fair comment).
Saman fitnah ini difailkan oleh Kamarulzaman pada 28 Julai 2020 berhubung penulisan Khalid yang disiarkan portal Malaysiadateline bertajuk ‘Pensyarah Melayu Bodohkan Melayu Ibarat Pegar Makan Padi’.
Penulisan Khalid pada 26 Mei 2017 itu sebagai memberikan pandangan berhubung kritikan Kamarulzaman terhadap buku YB Hannah Yeoh ‘Becoming Hannah’ melalui rencana bertajuk ‘Hannah Yeoh Contoh Hipokrasi Terbesar DAP’.
Justeru, Mahkamah juga memerintahkan Kamarulzaman membayar kos sebanyak RM10,000. Kamarulzaman diwakili peguam Mohd Harris Mohan dan Khalid Samad diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!