Tahanan lolos ditahan sembunyi dalam chalet
Ketika ditahan semula, lelaki tersebut didapati mengalami alahan kulit yang teruk.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tahanan yang dikenali sebagai Azizi Mohammad Hassan berusia 33 tahun itu ditahan di sebuah chalet di Batu Kurau, Perak.
Katanya, ketika ditahan, tahanan tersebut berada di dalam salah sebuah bilik di chalet tersebut.
"Kita masih menyiasat sama ada tahanan ini mendapat bantuan dari mana-mana pihak memandangkan dia ditemui di sebuah chalet di Perak. Suspek mengalami alahan kulit yang teruk sehingga menjadi kebiru-biruan dan bengkak.
"Susulan daripada itu, dia dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut. Dia direman empat hari untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.
"Dia kini ditempatkan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk siasatan lanjut selain memudahkan dia dibawa ke HPP sekiranya keadaan alahannya bertambah teruk berikutan jarak IPDTL dengan HPP berdekatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Jumaat.
Difahamkan, isteri tahanan tersebut akan melahirkan anak tidak lama lagi.
Sebelum ini, tahanan yang terlibat dalam kes dadah tersebut ditahan pada 20 April lalu disedari telah meloloskan diri dari lokap tersebut kira-kira jam 12 tengah malam.
Tahanan itu ditahan dalam satu serbuan di Jelutong dan sedang menunggu keputusan sama ada dikenakan tahanan menurut Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
Susulan daripada itu, enam anggota polis berpangkat lans koperal dan koperal yang sedang bertugas di lokap berkenaan ketika kejadian ditahan untuk siasatan lanjut.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, siasatan awal mendapati suspek melarikan diri sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak.
"Kami masih menyiasat bagaimana dia berada di Batu Kurau. Selain itu, kita tidak akan memohon lanjutan reman terhadap enam anggota polis terbabit, yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
"Berdasarkan siasatan kita, terdapat beberapa bentuk unsur kecuaian dalam kejadian ini. Oleh itu, dalam kertas siasatan, kita akan mengesyorkan tindakan sewajarnya kepada Timbalan Pendakwa Raya. Bagaimanapun, siasatan mengenai elemen lain juga akan dibuat," katanya.
Tambah beliau, enam anggota polis tersebut akan bertugas semula namun akan diletakkan di jabatan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!