Peniaga kembali tersenyum, raih jualan hingga RM15,000 sehari

Keadaan sesak di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang
Keadaan sesak di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang
A
A
A

SEREMBAN - Dua tahun lalu, kawasan bazar Aidilfitri di Dataran Senawang di sini hampir lumpuh susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kini ia kembali 'bernyawa'.

Suasana orang berpusu-pusu dan keadaan kenderaan sesak yang menuju ke situ dapat dilihat di setiap ceruk laluan menuju ke Dataran Senawang sehingga di kawasan perumahan berhampiran.

Peniaga yang sebelum ini terjejas teruk sepanjang PKP turut boleh tersenyum dengan sambutan luar biasa yang diterima kali ini.

Penganjur bazar di bawah Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Muslihana Ramli, 43, berkata, keadaan di bazar berkenaan penuh dengan lautan manusia sejak hari pertama ia dibuka.

Muslihana
Muslihana

"Para peniaga boleh balik dengan senyuman dan kerugian yang mereka tanggung sebelum ini kerana tak dapat berniaga dengan bebas kini diganti semula.

"Ikut pengiraan saya, seorang peniaga boleh dapat keuntungan antara RM10,000 ke RM15,000 sehari. Bayangkan kalau sebulan mereka betul-betul untung besar, " katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, negara yang kini berada pada Fasa Peralihan Endemik juga dilihat menjadi faktor rakyat sudah mula berani untuk keluar berjalan-jalan.

Ujarnya, pelanggan yang datang ke bazar itu bukan sahaja dari Negeri Sembilan tetapi juga dari Kajang, Selangor.

"Biasanya ramai yang memilih ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur tetapi kemungkinan mereka mahu elak kesesakan di sana, tapi rupa-rupanya suasananya sama saja," katanya.

Selain itu penganjur Hafiz Razali, 41, pula berkata, kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika ini adalah waktu paling tepat kerana boleh membantu rakyat membuat persiapan raya.

Hafiz
Hafiz

"Kita bersyukur kerana raya tahun ini negara sudah beralih kepada Fasa Peralihan Endemik dan pada masa sama dibenarkan pula pengeluaran KWSP, ada juga pemberian bonus daripada syarikat dan bantuan lain daripada kerajaan telah membolehkan rakyat berbelanja.

"Saya boleh katakan tahun ini orang akan beraya sakan dan ia dapat dilihat bila kawasan Bazar Aidilfitri Dataran Senawang ini alami kesesakan luar biasa berbanding sebelum ini," katanya.

Ujarnya, ada peniaga yang terpaksa menambah stok barang makanan dan pakaian yang dijual kerana pelanggan yang datang tidak putus-putus.

Tambahnya, sepanjang 15 tahun terlibat sebagai penganjur bazar, suasana orang ramai membuat persiapan raya tahun ini sangat mengujakan.

"Seingat saya kemeriahan begini kita rasai pada tahun 2012 ke 2015 dan selepas itu agak merudum kerana keadaan ekonomi yang tak stabil sebelum berlakunya kes Covid-19," katanya.

Hafiz berkata, kemeriahan bazar itu dijangka memuncak pada hujung minggu ini apabila ada peniaga yang membuat jualan harga runtuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!