Bank Rakyat sediakan 1,600 pek juadah sahur

Nizam (kanan) bersama Cef Ammrizan dan kakitangan Bank Rakyat menyediakan salah satu juadah sahur sempena program BaktiRAKYAT Rewang Ramadan.
Nizam (kanan) bersama Cef Ammrizan dan kakitangan Bank Rakyat menyediakan salah satu juadah sahur sempena program BaktiRAKYAT Rewang Ramadan.
A
A
A

SHAH ALAM – Bank Rakyat meneruskan aktiviti kesukarelawanan menerusi program BaktiRAKYAT Rewang Ramadan dengan bergotong-royong menyediakan 1,600 pek juadah sahur di sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi/Menanggung Tugas Ketua, Pengurusan Pengalaman Pelanggan Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, seiring dengan program ‘Rindunya Ramadan’ pada tahun ini, program BaktiRAKYAT Rewang Ramadan bukan sahaja bertujuan untuk mengimarahkan sambutan bulan Ramadan dengan berkongsi rezeki malah sebagai cara Bank mendekati dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan komuniti setempat khususnya golongan yang memerlukan.

“Program Rewang Ramadan di PPR Seri Alam Fasa 2 ini juga merupakan inisiatif sukarelawan keempat dilaksanakan oleh Bank selepas mengadakan Program Penambahbaikan Prasarana dan Keceriaan di Madrasah Waqaf Islamiah Sabah (MAWIS) pada Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Nizam berkata, program gotong-royong bagi penyediaan juadah sahur ini bermula seawal jam 9 malam dengan melibatkan seramai lebih 70 sukarelawan Bank Rakyat yang diketuai oleh tukang masak daripada Hotel Le Méridien, Kuala Lumpur, Ammrizan Yaacob bertempat di Kawasan Rukun Tetangga, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Fasa 2.

“Pek juadah sahur tersebut diagihkan kepada orang ramai bermula jam 12 tengah malam sehingga 2.00 pagi di sekitar PPR Seri Alam Fasa 2 dan PPR Kampung Limau, Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu seiring dengan aspirasi Rangka Tindakan Kelestarian yang dirangka menerusi pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) bertujuan untuk mengutamakan keseimbangan antara operasi perniagaan dan tanggungjawab bank terhadap komuniti, alam sekitar dan infrastruktur serta kemudahan awam dengan melibatkan semua warga kerjanya bagi menjamin kelangsungan kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

“Setakat ini, BaktiRAKYAT berjaya mengumpul sebanyak 1,464 jam khidmat sukarela termasuk program Rintis BaktiRAKYAT pada Disember 2021 dan menyasarkan untuk mencapai 23,000 jam khidmat sukarela menjelang Disember tahun ini dengan sekurang-kurangnya satu program kesukarelawanan diadakan pada setiap bulan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!