Sindiket rokok tidak bercukai tumpas
KUANTAN - Sindiket pengedaran rokok tidak bercukai dengan nilai rampasan RM344,436.20 berjaya ditumpaskan Briged Tenggara Pasukan Gerakan AM dalam satu serbuan di sebuah rumah di Indera Mahkota pada Khamis.
Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun yang berada di dalam sebuah kenderaan di hadapan rumah terbabit.
Komandernya, Senior Asisten Komisioner Datuk Hasan Basri Ahmad Safar berkata, pihaknya melakukan tangkapan dan rampasan rokok dalam satu operasi Op Kontraban Pantai Timur berdasarkan maklumat diperoleh.
“Pemeriksaan dilakukan ke atas rumah tersebut telah menemui kotak-kotak dan di dalamnya mengandungi rokok yang dipercayai tidak bercukai.
"Susulan itu, kita telah merampas sebanyak 777 karton pelbagai jenis rokok putih bernilai RM66,220 dengan nilai cukai RM115,885 melibatkan nilai keseluruhan bagi rokok ini adalah sebanyak RM182,105.
“Turut dirampas 363 karton pelbagai jenis rokok kretek bernilai RM63,360 dengan nikai cukai sebanyak RM89,971 dengan keseluruhan nilai rampasan bagi rokok ini adalah sebanyak RM153,331,” katanya dalam satu kenyataan kepada Jumaat.
Hasan Basri menjelaskan, sebuah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM9,000 turut dirampas menjadikan keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM344,436.20.
Tambahnya, suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
"Jika suspek didapati bersalah, hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini, Briged Tenggara PGA telah bejaya menghasilkan 46 kes tangkapan dan rampasan kontraban di bawah Akta Kastam 1967.
Jelasnya, ia melibatkan tangkapan seramai 27 orang suspek warga tempatan iaitu 23 lelaki dan empat perempuan serta 29 buah kenderaan dengan keseluruhannya membabitkan nilai rampasan berjumlah RM4,513,962.
Menurut Hasan Basri, operasi membanteras sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai serta lain-lain barangan menerusi Op Kontraban terutamanya di seluruh negeri Pantai Timur akan diperhebatkan lagi pada masa akan datang.
“Kegiatan ini perlu dibendung sepenuhnya kerana menyebabkan kerugian cukai yang tinggi kepada negara.
“Justeru, kerjasama serta bantuan masyarakat amat dialu-alukan terutama dalam penyaluran maklumat bagi membanteras kegiatan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!