Covid: Kes baharu, kematian di Sarawak menurun fasa peralihan endemik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Jumlah kes baharu dan kes kematian akibat Covid-19 di Sarawak mencatatkan penurunan dalam tempoh Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Ooi Choo Huck berkata, sebanyak 6,839 kes baharu direkodkan pada 1 hingga 28 April berbanding 38,529 kes bulan lepas.

"Bagi kes kematian, 41 kes direkodkan pada 1 hingga 28 April, berbanding 61 kes pada Mac," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengenai katil bukan Unit Rawatan Rapi (ICU), Dr Ooi berkata, penggunaannya adalah pada kadar 26 peratus manakala penggunaan katil ICU merekodkan kadar 10 peratus untuk Minggu Epid ke-16 iaitu 17 hingga 23 April, berbanding 40 peratus dan 36 peratus pada Minggu Epid ke-13 (27 Mac hingga 2 April 2022).

"Statistik ini menunjukkan trend penurunan bagi kes baharu dan kes kematian dengan kapasiti hospital semakin baik seterusnya secara tidak langsung melambangkan situasi pandemik Covid-19 semakin pulih di Sarawak,” katanya.

Dr Ooi berkata, keadaan itu hasil keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi Covid-19 di Sarawak yang mana setakat 26 April, liputan vaksin bagi seluruh populasi di negeri itu adalah sebanyak 80.6 peratus.

"Peratusan liputan dos kedua bagi populasi dewasa adalah 91 peratus dan bagi remaja sebanyak 93.1 peratus manakala liputan dos pertama bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun adalah 79.7 peratus,” tambahnya. - BERNAMA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!