Kerajaan cari penyelesaian kenaikan kos binaan
Foto: Bernama
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan cuba mencari penyelesaian susulan peningkatan kos binaan yang berpunca konflik peperangan antara Rusia dan Ukraine.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan mencari cara terbaik kerana ia juga telah menyumbang kepada peningkatan harga rumah.
"MPMMN akan mencari penyelesaian terhadap masalah yang timbul selain memudahkan pembelian dan pemilikan rumah pada masa akan datang," katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PR1MA Astrum Ampang pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Sharif.
Ismail Sabri juga menjelaskan kerajaan menyedari cabaran orang ramai terutama golongan muda untuk membeli rumah.
Justeru, beliau menegaskan kerajaan akan menggariskan beberapa pendekatan segera dan jangka panjang untuk mengatasi masalah tersebut.
"Ini adalah selari dengan usaha memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 dalam usaha mengelakkan mereka daripada menanggung beban kewangan yang berat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!