Kerajaan rancang keluarkan sendiri kad perakuan pelarian
PUTRAJAYA - Kerajaan sedang merancang untuk mengeluarkan sendiri kad perakuan pelarian melalui agensi yang bertanggungjawab dalam perihal tersebut, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, Malaysia yang sepatutnya menentukan sama ada pelarian itu boleh tinggal di negara ini dan diberikan kad dikeluarkan oleh agensi kerajaan Malaysia bertanggungjawab.
"Sepatutnya Malaysia yang tentukan sama ada seseorang itu boleh tinggal di negara ini atau tidak... dengan kad yang dikeluarkan agensi kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab.
"Tiba-tiba ada pula agensi lain yang buat pendaftaran (keluarkan kad) di negara kita,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan pada Jumaat.
Pada April 2020, Hamzah dilaporkan sebagai berkata, kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian etnik Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Menurutnya, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.
Hamzah dalam pada itu berkata, ketika ini hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sahaja yang layak untuk mendaftarkan mana-mana individu untuk tinggal secara sah di Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, pihak berkuasa masih memburu baki 61 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Beliau berkata, ketika ini pihak berkuasa sedang mengenal pasti lokasi sebenar mereka yang dipercayai berada di Selayang, Selangor.
Pada 20 April lalu, seramai 528 tahanan merusuh dan melarikan diri daripada depot tahanan namun lebih 460 pelarian tersebut berjaya ditahan semula manakala tujuh daripada mereka maut akibat kemalangan dalam cubaan melintas di kawasan Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!