Cubaan seludup mercun guna jalan air gagal
Maritim gagalkan cubaan penyeludupan guna jalan air
PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan merampas 21 bungkusan plastik berisi pelbagai mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM 8,240 dipercayai diseludup sempena sambutan Aidilfitri minggu depan.
Rampasan dilakukan di Sungai Kemasin, Bachok pada jam 4.20 pagi.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari kehadiran penguat kuasa, pemandu bot berkenaan bertindak melarikan diri memasuki perairan sungai Kemasin.
“Pemeriksaan di lokasi perairan itu, menemukan 21 plastik hitam mengandungi pelbagai mercun dan bunga api yang cuba diseludup masuk dari negara jiran melalui jalan laut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Syed Nor Adli berkata, mercun dan bunga api tersebut dipercayai dibawa masuk kerana mendapat permintaan yang tinggi sempena sambutan Aidilfitri.
“Kami percaya mercun-mercun ini akan dibawa masuk secara berperingkat melalui jalan laut sebelum dipasarkan di sekitar negeri Kelantan.
“Berikutan operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh agensi lain di sepanjang Sungai Golok dan juga di darat, ada antara penyeludup yang cuba mengubah modus operandi mereka dengan mengikuti jalan laut dan kita berjaya mengesan kegiatan ini,” katanya.
Ujarnya, kesemua barang yang dirampas disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan tanpa kebenaran yang sah.
“Sepanjang musim perayaan ini, maklumat berkenaan penguatkuasaan dan carilamat boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09 – 778 0070,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!