Pemilik premis disaran semak status Covid-19 MySejahtera pengunjung
PUTRAJAYA - Pemilik premis disaran menyemak status risiko Covid-19 di MySejahtera pengunjung terutamanya di tempat berisiko tinggi seperti di restoran.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, satu sesi libat urus bersama persatuan perniagaan dan peruncit telah diadakan secara maya pada Jumaat bagi membincangkan pelaksanaan protokol baharu.
Menurutnya, sesi libat urus tersebut bersetuju bahawa tanggungjawab untuk memastikan ekosistem perniagaan selamat daripada penularan jangkitan Covid-19 tidak hanya terletak pada kerajaan dan pemilik perniagaan, tetapi juga individu yang mengunjungi premis tersebut.
"Pemilik premis ataupun pasukan penguat kuasa boleh menyemak status risiko Covid-19 di dalam aplikasi MySejahtera pengunjung secara rawak.
"Selain itu, majikan juga perlu pastikan mana-mana pekerja yang positif Covid-19 atau diberikan arahan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) tidak memasuki premis kerja," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Khairy berkata, selari dengan pemerkasaan tanggungjawab individu dan juga solidariti komuniti dalam memastikan fasa peralihan ke endemik berjalan lancar dan selamat, individu yang ingin mengunjungi premis perniagaan seperti pusat membeli-belah, kedai makan dan kedai runcit bertanggungjawab memastikan mereka bukanlah kes positif Covid-19 dan bukan dalam HSO.
"Seperti yang telah ditetapkan di dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), individu yang dikesan positif Covid-19 hendaklah menjalani pengasingan mengikut tempoh yang ditetapkan sama ada di tempat kediaman, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau di hospital.
"Individu yang diletakkan di bawah perintah HSO pula perlu dikuarantin di tempat kuarantin sehingga tamat tempoh kuarantin yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan bukanlah bermakna Malaysia menang dalam peperangan melawan Covid-19.
"Kita mesti bertanggungjawab untuk pastikan ia tidak berakhir dengan kemudaratan.
"Oleh itu, orang ramai disaran melakukan ujian kendiri sekiranya bergejala dan tangguhkan perancangan untuk mengunjungi kompleks membeli-belah atau kedai makan atau aktiviti berkunjung atau ziarah semasa berhari raya.
"Langkah ini bagi memastikan orang di sekeliling kita terutamanya yang berisiko tinggi terlindung daripada jangkitan Covid-19 yang teruk," katanya.
Bermula Ahad ini, semua individu dibenarkan memasuki ke mana-mana premis tanpa mengira status vaksinasi kecuali mereka yang disahkan positif jangkitan Covid-19 dan individu yang diberikan arahan HSO.
Selain itu imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam.
Pengunjung bagaimanapun disarankan untuk mengaktifkan fungsi MySejahtera Trace (MySJ Trace) untuk tujuan pengesanan kontak dan juga aktiviti survelan Covid-19 terutamanya di tempat orang ramai yang sesak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!