Masih ada 89,976 tiket kereta api untuk pulang beraya
KUALA LUMPUR - Tiket bagi tren elektrik (ETS) dan pelbagai perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) masih berbaki 89,976 melibatkan perjalanan 23 April hingga 8 Mei ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, baki tiket berkenaan melibatkan perjalanan ke utara, timur dan selatan.
Menurutnya, jumlah baki tiket itu turut melibatkan tiket ETS tambahan dari KL Sentral ke Padang Besar dengan keseluruhan tiket yang ditawarkan sebelum ini berjumlah 244,502.
"Bagi tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia dari KL Sentral-Tumpat pula telah habis dijual," katanya pada sidang akhbar selepas mengedarkan pek hari raya kepada penumpang di Stesen KL Sentral di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.
Beliau berkata, mengikut rekod KTMB sudah menambah 180 tempat duduk untuk tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia dari KL Sentral -Tumpat, namun ia sudah habis dijual.
"Terima kasih juga kepada KTMB kerana menjayakan inisiatif Keluarga Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia jam 11 malam ini," katanya.
Mengulas lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi penumpang, Mohd Rani berkata, pemakaian pelitup muka bagi setiap penumpang masih diwajibkan.
"Cuma penumpang tidak perlu imbas QR Code MySejahtera dan cek suhu sahaja," katanya.
Tambahnya, KTMB turut menyediakan kakitangan tambahan termasuk polis bantuan bagi melancarkan operasi perjalanan penumpang ke destinasi masing-masing.
"Melalui tren khas ini penumpang dapat bersolat, makan dan bersantai melalui kemudahan yang disediakan KTMB," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!