'Saya rindu keluarga, 12 tahun beraya di pusat jagaan'
JOHOR BAHRU - Setiap kali menyambut Ramadan dan Aidilfitri, seorang warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Nur Ehsan, Kempas di sini sentiasa terkenangkan empat anaknya.
Meiry Chanok, 67, yang menyambut hari lebaran tanpa ahli keluarga di sisi untuk kali ke-13 pada tahun ini, mengakui rindu kepada anak-anaknya tetapi tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk mereka datang menziarahi.
Ini kerana dia sudah terputus hubungan dengan mereka serta akur dengan takdir yang ditetapkan dalam hidupnya dan kini hidup bersama-sama isteri, Habibah Abdul Rahman, 54, di pusat jagaan itu bersama-sama rakan senasib.
"Kalau nak cerita pasal rindu pada keluarga, memang tak boleh nak diungkap lagilah. Bayangkan saya sudah menghuni dan berhari raya di pusat jagaan ini sejak masuk ke sini kira-kira 12 tahun lalu.
"Sejak itu anak-anak, menantu dan cucu tidak pernah datang menjenguk walaupun mereka tinggal di sekitar Johor Bahru. Namun saya seperti sudah biasa menyambut hari raya di pusat jagaan ini tanpa anak-anak di sisi," katanya ditemui pemberita di pusat jagaan itu baru-baru ini.
Meiry yang berasal dari Senggarang, Batu Pahat berkata, bagi menghiburkan hati dan mengubat rindu, dia dan isteri serta penghuni pusat jagaan berkenaan meluangkan masa bersama-sama.
"Saya juga amat rindukan untuk melihat dan beraya di kampung halaman di Senggarang kerana masih ada saudara-mara di sana. Sebelum ini adik bongsu dan sepupu saya ada datang ke pusat jagaan ini melawat saya.
"Sepupu saya ada bawa saya balik ke kampung sebelum ini tetapi kini tidak lagi kerana dia sudah meninggal dunia," katanya.
Sebelum ini katanya, dia bersama-sama isteri pertama sebelum Habibah dan empat anaknya tinggal di Skudai Kiri di sini.
Dia kemudian diserang strok pada 2010 dan duduk di rumah selama tiga bulan, sebelum dimasukkan ke hospital.
Ceritanya lagi, selepas dimasukkan ke hospital dan tiada ahli keluarga yang datang membawanya keluar, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkannya di pusat jagaan tersebut.
Dia kemudian berpisah dengan isteri pertamanya apabila wanita itu menuntut fasakh sebelum bertemu jodoh dengan Habibah di pusat jagaan tersebut kira-kira 11 tahun lalu.
"Anak-anak saya tahu saya berada di sini tetapi tidak pernah datang menjenguk. Saya pun dah malas nak fikir. Hanya bekas isteri ada datang beberapa kali meminta maaf dengan saya," katanya.
Sementara itu, Habibah berkata, setiap malam dia menangis kerana rindukan kakak dan adiknya memandangkan sudah lebih 10 tahun tidak bertemu mereka selepas ditempatkan di pusat jagaan tersebut pada 2007.
"Saya harap mereka datang melawat saya. Selain suami, hanya mereka yang saya ada kerana perkahwinan pertama sebelum ini tidak mempunyai cahaya mata," katanya yang berasal dari Ayer Hitam, Batu Pahat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!