Mantai Aidilfitri secara fizikal tawar 40 tan daging

Bakri (kanan) melihat daging yang dijual di Pasar Tani Kekal Bandar Seri Jempol.
Bakri (kanan) melihat daging yang dijual di Pasar Tani Kekal Bandar Seri Jempol.
A
A
A

JEMPOL - Sebanyak 40 tan daging membabitkan 400 ekor lembu ditawarkan kepada orang ramai di 14 lokasi program Mantai Aidilfitri secara fizikal pada Sabtu.

Lokasi jualan di daerah Seremban adalah di Ikhwan Mart Seremban 2; Kampung Sungai Landak, Ampangan; Santan Station Mambau, Kampung Mambau ; Surau Al Mustofa, Gedung Lalang;Centre Point, Bandar Seri Sendayan dan Masjid Dato' Klana Petra Mohd Yusof, Sikamat.

Selain itu di Dewan Agora, Rembau; bersebelahan Sekolah Menengah Agama Repah, Tampin; Pasar Tani Kekal Bandar Seri Jempol, Jempol; Simpang Pertang dan Pusat Khidmat DUN Klawang, Jelebu; Medan GBBS Batu 4, Port Dickson dan Taman Pilah Jaya, Kuala Pilah.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, harga yang ditawarkan ialah sama seperti tempahan menerusi aplikasi Agrobazar Online (ABO) iaitu RM36 sekilogram.

"Sebenarnya kita telah lancarkan Mantai Aidilfitri dalam talian, tetapi saya dapati ia kurang mendapat sambutan, kemungkinan masyarakat tidak boleh menerima konsep pembelian daging cara begini atau kurang memahami.

"Apabila tempahan ditutup, hanya 283 kilogram daging dan tulang diterima dan sebab itu, kita buka juga jualan secara fizikal pada hari esok (Sabtu)," katanya kepada Sinar Harian selepas melawat Jualan Semarak Syawal Peringkat Negeri Sembilan di Pasar Tani Kekal Bandar Seri Jempol di sini pada Jumaat.

Menurutnya, risiko pembelian secara fizikal ialah orang ramai perlu beratur panjang dan kemungkinan daging tidak cukup berbanding pembelian secara dalam talian yang membolehkan peniaga bersedia.

Bakri Sawir berkata, daerah Jempol didapati menawarkan harga daging paling murah iaitu RM36 sekilogram berbanding daerah lain di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu katanya, terdapat tujuh lokasi Pasar Tani terpilih bagi program Jualan Semarak Syawal iaitu Pasar Tani Batu 4 Port Dickson, Pasar Tani Tampin, Pasar Tani Kekal Bandar Seri Jempol, Pasar Tani Kuala Pilah, Pasar Tani Rembau, Pasar Tani Paroi Jaya dan Pasar Tani Batu Kikir.

Jelasnya, seramai 500 usahawan yang terlibat dan nilai jualan yang disasarkan sebanyak RM500,000.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!