Jasad Nagaenthran selamat disemadikan
IPOH - Jasad rakyat Malaysia Nagaenthran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura Rabu lepas, telah disemadikan di Hindu Crematorium Buntong di sini hari ini.
Jasadnya selamat disemadikan mengikut adat dan tradisi masyarakat India, selepas dibawa dari rumahnya di Tanjung Rambutan pada pukul 3 petang tadi dan tiba di pusat krematorium itu kira-kira pukul 4 petang.
Suasana pilu ternyata menyelubungi pekarangan krematorium itu, apabila kalangan lebih 100 ahli keluarga dan sahabat handai mendiang yang hadir, tidak dapat menahan kesedihan selain ada yang nampak tenang sejurus jasad Nagaenthran tiba.
Mereka yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang, sebelum pengurusan jasadnya disempurnakan kira-kira pukul 5 petang.
Pada Selasa (26 April), Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu mendiang S. Panchalai, 60, untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.
Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72 gram heroin ke Singapura pada 2009, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.
Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19, ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!