'Hantar pelarian Rohingya ke negara asal bukan tindakan mudah'
SHAH ALAM - Bukan sesuatu yang mudah sekiranya mahu menghantar kembali pelarian Rohingya pulang ke negara asal mereka.
Setiausaha Agung Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Shahrizal Azwan Samsudin berkata, Malaysia bakal berdepan kecaman daripada negara-negara antarabangsa sekiranya berbuat demikian.
"Kita tidak boleh tolak mereka pulang begitu sahaja. Ramai yang ingat untuk hantar mereka pulang itu sangat mudah.
"Kita tidak boleh berbuat demikian atas sebab undang-undang selain Malaysia akan menghadapi kecaman negara antarabangsa yang lain," katanya dalam Wacana Sinar Harian bertajuk Rohingya: Ditatang atau Dibenci pada Jumaat.
Menurutnya, MRA sendiri tidak bersetuju dengan kemasukan pelarian Rohingya ke negara ini, namun perlu bersikap realistik memandangkan etnik itu sudah berada di sini.
Malah, beliau berkata, orang Rohingya sebenarnya sudah berada di negara ini sejak tahun 1980 lagi selain telah mempunyai empat generasi dan mampu untuk berasimilasi serta bertutur bahasa Melayu dengan baik.
"Kita memang bersetuju untuk tidak ada lagi pelarian yang diterima masuk ke negara ini tetapi apa yang kita nak buat dengan mereka yang sudah ada di sini?
"Hantar mereka balik bukan satu penyelesaian dan kita juga tidak ada banyak pilihan selain mereka juga adalah liabiliti kepada negara kita," katanya.
Justeru, beliau memberikan cadangan agar pendidikan diberikan kepada pelarian Rohingya itu sekali gus memastikan mereka memahami budaya masyarakat di negara ini.
"Mereka ini diseksa dan ditindas di negara mereka. Jadi, mereka ini ada rasa sangsi kepada pemerintah dan apabila datang ke Malaysia, perasaan itu tetap ada.
"Di negara asal mereka juga, mereka tidak bersekolah kerana Rohingya tidak dibenarkan masuk ke sekolah. Jadi, apabila kita sediakan pendidikan, kita mengurangkan jurang ini dan dalam masa sama mengajar mereka adat budaya kita.
"Jadi, jurang itu akan berkurang dan ia akan mengelakkan orang Rohingya ini mencetuskan pelbagai masalah jenayah lain seperti mencuri dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!