Kekerapan penerbangan masuk ke Sarawak lebih 90 peratus

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kekerapan penerbangan pra-pandemik ke Sarawak kini telah lebih 90 peratus kembali kepada kekerapan biasa, yang pastinya akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan Sarawak semasa negara sedang melalui fasa peralihan ke endemik.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini adalah perkembangan yang cukup memberangsangkan, terutama ke arah mencapai sasaran 1.2 juta ketibaan pelancong ke Sarawak tahun ini.

"Saya percaya kita boleh capai sasaran (1.2 juta ketibaan pelancong ke Sarawak) dengan melihat kepada jumlah penerbangan dan pelawat yang masuk. Kami berharap untuk melihat lebih banyak laluan terus baharu dan peningkatan kekerapan penerbangan terus terutamanya dari Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media selepas menyaksikan ketibaan penerbangan terus AirAsia buat julung kalinya dari Singapura ke Sarawak, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini pada Jumaat.

Pada 8 April lepas Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, kekerapan penerbangan ke destinasi pelancongan utama di Sarawak telah ditingkatkan kepada 615 penerbangan seminggu berbanding 576 sebelum ini.

Sementara itu Abdul Karim berkata, Sarawak telah merancang pelbagai aktiviti hebat yang mengujakan bertaraf antarabangsa bagi menarik kunjungan ramai pelancong.

Beliau berkata, acara Spartan Race dijadualkan berlangsung di Sarawak pada 11 dan 12 Jun ini, manakala festival ikonik Rainforest World Music pada 17 hingga 19 Jun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!