Gerai usahawan PKS di Bazar Glamour Raya Medan MARA laris

A
A
A

Suhaida menunjukkan batik buatan tangan yang dijual gerainya yang beroperasi di bangunan MARA Kuala Lumpur.
Suhaida menunjukkan batik buatan tangan yang dijual gerainya yang beroperasi di bangunan MARA Kuala Lumpur.

Selepas dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19, Aidilfitri yang akan tiba beberapa hari lagi membawa sinar kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ramadan kali ini membuka pintu rezeki mereka untuk menjana semula pendapatan selepas terjejas teruk akibat pandemik yang melanda.

Permintaan tinggi terhadap barangan keperluan hari raya seperti pakaian, kuih muih dan peralatan rumah menjadi lubuk rezeki kepada peniaga.

Justeru, Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil peluang dengan membuka 50 ruang niaga ‘Bazar Glamour Raya’ untuk disewakan sepanjang Ramadan bertempat di bangunan ibu pejabatnya sendiri di Medan MARA, Kuala Lumpur.

Batik buatan tangan dapat sambutan

Pemilik Rumah Kraf Batik, Suhaida Samsudin, 28, menyifatkan peluang ini digunakan sepenuhnya untuk memasarkan batik keluaran syarikatnya.

“Syukur Alhamdulillah, jualan di Medan MARA ini amat memberangsangkan, mungkin sebab ramai yang gemar buat persiapan saat akhir,” katanya.

SUHAIDA
SUHAIDA

Menurut, anak kelahiran Dungun itu, dua tahun lalu perniagaan batiknya agak terkesan akibat penutupan sektor ekonomi. Namun, berkat usaha ditambah dengan bantuan daripada beberapa agensi perniagaannya kembali bernafas.

“Saya beranikan diri untuk live di Facebook dan jualan mula naik sedikit demi sedikit,” katanya sambil memberitahu batik asli keluaran syarikatnya adalah 100 peratus buatan tangan dan kualitinya lebih baik daripada yang dicetak secara digital.

Menurutnya, kain batik paling premium adalah dari jenis sutera, cotton satin dan viscos yang harganya boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.

Perniagaan yang diwarisi daripada ibunya sejak tahun 1997 itu bermula di halaman rumahnya di Dungun, Terengganu.

“Selain rekaan kaftan yang jadi rebutan, produk lain termasuklah kameja batik, blaus palazzo, jubah batik dan kurung siap,” katanya.

Maklumat lanjut layari Facebook dan Instagram RumahKrafBatik.

Permintaan tinggi Orkid hiasan

Norfatihah menunjukkan bunga hiasan yang dijual gerainya yang beroperasi di Bazar Glamour Raya Medan MARA.
Norfatihah menunjukkan bunga hiasan yang dijual gerainya yang beroperasi di Bazar Glamour Raya Medan MARA.

Permintaan terhadap bunga hiasan mendorong Norfatihah Mohd Nazri, 42, membuka gerai jualan di Medan MARA di bawah label Orkid Hiasan Atie. Uniknya gerai yang diusahakan anak kelahiran Kedah ini menjual pelbagai gubahan bunga orkid.

“Saya menjual gubahan orkid sejak Mei tahun 2020 selepas perniagaan kedai jahit agak perlahan kerana Covid-19.

“Orkid ini diperbuat daripada super premium latex yang perinciannya seperti orkid sebenar yang ditanam,” katanya yang menyewa gerai di situ sejak 2 April lalu.

Gubahan bunga orkid yang dijualnya bermula dari harga RM70 hingga ke RM1,500 bergantung kepada jenis dan gaya gubahan.

NORFATIHAH
NORFATIHAH

Menurut Norfatihah, promosi di Instagram sangat membantu apabila ramai yang datang mahu melihat hasil gubahannya.

Jelasnya, dia juga mengadakan khidmat penghantaran sendiri bagi memudahkan urusan tempahan gubahan dapat dihantar kepada pelanggan sekitar Lembah Klang.

“Dengan adanya kakitangan sendiri membuat penghantaran, ia membantu mempercepatkan urusan. Bagi tempahan luar Lembah Klang, saya masih menggunakan perkhidmatan penghantaran,” katanya.

Maklumat lanjut layari Instagram orchids.decor_atie

Masakan Negeri Sembilan pilihan berbuka

Pemilik Restoran Cafe D’Amiey melayani pelanggan yang datang membeli juadah di gerainya.
Pemilik Restoran Cafe D’Amiey melayani pelanggan yang datang membeli juadah di gerainya.

Memulakan perniagaan dengan membuka sebuah restoran Café D’Amiey di sini, Zuriana Mohd Zuhri, 40, tidak menoleh lagi, sebaliknya cekal membina empayarnya dengan beralih menyewa gerai menjual lauk pauk sepanjang Ramadan.

"Saya berterima kasih kepada pihak MARA kerana menyediakan ruang untuk kami berniaga sepanjang bulan Ramadan.

"Alhamdulillah, setiap kali penganjuran Bazar Raya MARA saya mendapat tapak di sini sejak lima tahun yang lalu dan sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan," katanya.

ZURIANA
ZURIANA

Berkonsepkan cita rasa makanan Negeri Sembilan, ia mempunyai peminatnya tersendiri.

“Antara lauk-pauk popular ialah ikan patin tempoyak, pajeri terung nanas, gulai lemak ayam daun pegaga. Lauk-pauk inilah yang biasanya akan habis dahulu,” katanya yang berasal dari Perak.

Apa yang menarik, semua lauk pauk itu adalah air tangan suaminya Azmi Mat Deris yang merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan.

“Dia cef yang menyediakan menu masakan ini termasuk di restoran kami di Greenwood, Gombak yang diberi nama ‘Fantasis Delight’,” katanya.

Menurutnya, sepanjang Ramadan lauk pauk yang dijual akan bertukar menu iaitu 10 lauk tetap manakala 15 lagi adalah menu baharu setiap hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!