Tiada hukuman baharu, Perak FC boleh terus bersaing dalam Liga-M

Perak FC (Gambar kecil: Stuart)
Perak FC (Gambar kecil: Stuart)
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan syarikat telekomunikasi terkenal, XOX Berhad (XOX) sebagai pemilik baharu Perak FC berkuat kuasa pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, urusan pengambilalihan kelab Liga Premier itu dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perak FC dan XOX.

“Bagi pihak MFL, saya gembira apabila Perak FC akhirnya menemui pemilik baharu setelah beberapa bulan lamanya. Ini satu permulaan yang baik walaupun perjanjian jual beli belum selesai.

“Semua dokumentasi yang diperlukan MFL juga sudah diterima termasuk proof of funds. Pada majlis (MoU) hari ini, pihak XOX telah menemui pegawai pasukan (Perak FC) termasuk ketua jurulatih, Yusri Che Lah, (penolong jurulatih) Chan Wing Hoong serta Indra Putra Mahayuddin.

“Kehadiran mereka ini sesuatu yang amat positif. Ini kerana mereka boleh dengar sendiri status semasa, percaturan dan hala tuju pasukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Perak FC telah dikenakan hukuman pemotongan sembilan mata susulan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai kelab itu sejak beberapa bulan lalu.

Perak FC dipalit masalah itu apabila pemilik sebelum ini, Impact Media and Communication (IMC) Sdn Bhd gagal melunaskan tanggungjawab mereka sehingga perlu mencari ‘tauke’ baharu.

Selepas beberapa bulan timbul spekulasi, akhirnya XOX diumum secara rasmi sebagai pemilik baharu Perak FC apabila memegang 100 peratus pemilikan kelab tersebut.

“Ini bermakna Perak FC boleh terus bersaing dalam Liga-M tanpa sebarang halangan. Namun, denda pemotongan enam mata yang dikenakan ke atas Perak FC pada 14 April lalu tetap kekal,” jelas Stuart.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!