3,000 pelita hiasi gerbang pelita raya Masjid Kristal
BATU PAHAT - Pelbagai cara digunakan bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri lebih-lebih lagi pada minggu akhir Ramadan yang sinonim dengan tradisi lampu tujuh likur.
Bagi penduduk Kampung Baru Sri Gading di sini, tradisi lampu tujuh likur cukup unik dengan membina gerbang yang dihiasi lampu pelita atau punjut.
Gerbang pelita raya berbentuk Masjid Kristal di Terengganu merupakan hasil usaha 30 belia kampung yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng Sumbu.
Ketua Geng Sumbu Kampung Baru Sri Gading, Mohd Azam Isnin berkata, tradisi punjut yang dilihat semakin pudar mahu dihidupkan semula dengan pembinaan gerbang pelita raya.
Menurutnya, pembinaan gerbang pelita raya bermula sejak dua tahun lalu, diteruskan pada tahun ini dengan jumlah pelita yang semakin bertambah iaitu sebanyak 3,000 berbanding 2,021 pelita sebelum ini.
"Kayu terpakai digunakan untuk membina rangka gerbang berbentuk Masjid Kristal. Masjid Kristal dipilih kerana mempunyai binaan yang lebih menarik dan unik.
"Gerbang pelita yang mencecah ketinggian hampir 15 meter itu menggunakan sebanyak 90 liter diesel setiap hari bagi menghidupkan semua lampu pelita berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Azam, acara terbabit ditunggu-tunggu penduduk Batu Pahat yang teruja mahu menyaksikan ribuan pelita raya dipasang pada gerbang besar menjelang sambutan Aidilfitri.
"Kampung Baru yang terletak di laluan utama ke pusat bandar Batu Pahat serta Pekan Sri Gading menjadikan pintu gerbang ini menarik perhatian pengguna jalan raya.
"Kami akan pasang lampu pelita berkenaan selama seminggu sehingga 1 Syawal nanti. Anak perantau dan penduduk Batu Pahat dan sekitarnya boleh singgah mengambil gambar untuk dijadikan sebagai kenangan," katanya.
Jelasnya, keselamatan pengunjung sentiasa diutamakan dengan kod QR MySejahtera disediakan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Selain itu, katanya, khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) digunakan bagi membantu kelancaran aliran trafik di kawasan kampung.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli berkata, gerbang pelita raya di Kampung Baru Sri Gading memperlihatkan kerjasama dan perpaduan penduduk kampung masih kukuh.
Katanya, penganjuran gerbang pelita raya yang sudah masuk tahun ketiga menyaksikan acara itu sudah menjadi tarikan pengunjung ke Batu Pahat.
"Dengan beberapa kelonggaran SOP fasa peralihan ke endemik baru-baru ini membolehkan tradisi memasang gerbang pelita raya diteruskan pada tahun ini.
"Diharapkan penganjuran gerbang pelita raya dapat diteruskan supaya ia tidak pupus ditelan zaman dan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk Kampung Baru," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!