PSM tunggu keputusan mahkamah
PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak mahu terburu-buru dalam menentukan masa depan mereka di sebalik kemelut berpanjangan yang dihadapi dengan Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC).
Sebaliknya, PSM menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk memutuskan mengenai status mereka sebagai badan induk sepak takraw negara sebelum mengambil langkah seterusnya.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang ketetapan selagi pihak mahkamah belum menentukan status mereka.
“Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM yang berlangsung baru-baru ini telah memutuskan untuk menunggu pihak mahkamah membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.
“Saya tahu berkenaan tindakan MSC yang telah mempelawa ahli gabungan PSM untuk menyertai mereka. Tetapi biarlah kita tunggu dulu mahkamah buat keputusan.
“Ini bukan bermaksud kita tidak bersikap terbuka. Lebih baik kita tunggu sehingga pihak mahkamah putuskan dan selepas itu, barulah kita boleh buat keputusan.
“Maksud saya, bila mahkamah kata PSM pertubuhan yang sah atau MSC pertubuhan yang sah, barulah kita buat keputusan.Sekarang kena tunggu keputusan mahkamah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Pada 25 April lalu, Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman meminta ahli gabungan dan bersekutu yang bernaung di bawah PSM menerima pelawaan untuk bersama badan induk baharu sepak takraw negara itu.
Menurut Suhaili, jemputan itu ditujukan kepada 10 negeri dan wilayah persekutuan yang masih menganggotai PSM serta empat ahli bersekutu mereka demi mengembalikan Malaysia sebagai antara kuasa sepak takraw dunia.
Di sebalik pelawaan MSC itu, PSM telah memfailkan satu kebenaran untuk memohon semakan kehakiman yang akan didengar di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur pada 7 Julai depan.
Tindakan itu dibuat susulan keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang mendaftarkan MSC sebagai sebuah badan sukan sepak takraw bagi peringkat kebangsaan di Malaysia.
PSM kemudiannya disingkirkan sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).
Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh dalam satu kenyataan berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.
“Pihak Jabatan Peguam Negara juga telah diserahkan dengan semua dokumen permohonan pada 25 April 2022. PSM berharap semua pihak dapat memberikan ruang yang sewajarnya sehingga isu perundangan ini diselesaikan,” ujarnya.
Permohonan secara ex-parte itu menamakan Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof sebagai responden pertama dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai responden kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!