Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Nur Izzuddin berentap di separuh akhir BAC
BEREGU lelaki negara mengesahkan slot ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) apabila gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal berentap dengan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada aksi separuh akhir hari ini.
Kedua-dua gandingan beregu berkenaan mara ke separuh akhir setelah menewaskan lawan masing-masing pada saingan suku akhir, semalam.
Pada aksi suku akhir, gandingan Aaron-Wooi Yik dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan beregu ranking ketiga dunia ketika ini, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 12-21, 21-14, 21-16 dalam tempoh 53 minit.
Aaron-Wooi Yik yang juga merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, diberikan tentangan sengit oleh Rankireddy-Shetty pada set pertama hingga menyaksikan mereka tewas 12-21.
Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik mula bangkit pada set kedua untuk menang 21-14 pada set kedua dan terus mengekalkan kebangkitan berkenaan untuk menang 21-12 pada set penentuan.
Ketika Aaron-Wooi Yik terpaksa bekerja keras untuk mengesahkan slot ke separuh akhir, gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula dilihat tidak berdepan masalah menewaskan gandingan China,Ren Xiang Hyu-Tan Qiang di suku akhir.
Bagaimanapun, Sze Fei-Nur Izzuddin yang juga merupakan juara Terbuka Jerman 2022 dipaksa bekerja keras pada set pertama sebelum menang 21-19.
Set kedua menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin mula menguasai perlawanan dan berjaya menewaskan Xiang Yu-Qiang 21-14 dalam tempoh 33 minit.
Sementara itu jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menepati ramalan untuk ke separuh akhir apabila mudah menewaskan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama pada aksi suku akhir.
Zii Jia yang juga merupakan pemain ranking ketiga dunia ketika ini memulakan perlawanan dengan baik dan memenangi set pertama 21-13.
Set kedua menyaksikan Zii Jia mula mendominasi perlawanan sebelum menewaskan Tsuneyama yang juga pemain ranking kelapan dunia ketika ini, 21-11.
Pada aksi separuh akhir hari ini Zii Jia bakal berdepan pemain ranking ke-89 dari China, Weng Hong Yan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!