Boleh mohon pinjaman secara terus dengan YBR
KUALA LUMPUR - Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperkenalkan konsep permohonan secara terus melibatkan pelajar yang ingin mendapatkan pinjaman.
Pengerusinya Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, permohonan secara terus kepada YBR itu dilaksanakan berbanding permohonan melalui cawangan Bank Rakyat sebelum ini.
“Kami mahu tukar cara lama, ianya terpakai kepada semua bakal kategori pelajar, mahasiswa, setiap calon pemohon kita akan jumpa supaya ada komunikasi itu,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak Baitu Saidati Khadijah pada majlis berbuka puasa yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Turut hadir sama dalam majlis ini adalah semua Ahli Lembaga Pemegang Amanah serta semua wargakerja YBR.
Megat berkata, konsep permohonan baharu itu sudah diluluskan dan akan dilaksanakan YBR dalam waktu terdekat.
“Contoh dalam 10,000 pelajar yang mohon, 3000 mesti suatu hari mereka akan berada dalam posisi yang tinggi mungkin dia jadi CEO di bank atau syarikat besar, mungkin jadi perdana menteri jadi dia bermanfaat untuk orang lain yang memerlukan ” katanya.
Jelasnya, setakat 15 Februari hingga 15 Mac tahun ini terdapat 4000 permohonan pinjaman telah diterima YBR.
“Jumlah ini membuktikan rakyat berada dalam keadaan sukar, bajet bantuan pinjaman kita tidak sebanyak itu, tapi jangan risau kita ada satu program lain yang akan diumumkan sedikit masa lagi,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai program sumbangan berkenaan, beliau berkata ianya menjadi acara tahunan YBR yang amat menitik beratkan golongan yang memerlukan bantuan terutama anak yatim, miskin dan gelandangan yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar.
Katanya, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini akan lebih meriah apabila kerajaan telah memberikan kebenaran kepada rakyat untuk pulang ke kampung halaman bertemu sanak saudara.
Beliau turut meluangkan masa untuk beramah mesra dengan penerima bantuan serta menasihatkan mereka untuk menjaga kesihatan serta menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.
Sejak ditubuhkan pada 16 Mei 2007, Yayasan Bank Rakyat (YBR) komited membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan, ahli-ahli Bank Rakyat dan anak-anak mereka dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.
Komitmen ini terbukti oleh skala program penajaan YBR – sehingga 1 Januari 2022, YBR telah menaja lebih daripada 5,964 pelajar dengan jumlah keseluruhan tajaan melebihi RM165 juta bagi meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!