'Baru dua hari jual mercun dah kena tahan'
TELUK INTAN - Seorang peniaga ditahan polis kerana memiliki dan menjual mercun tanpa permit di Ekspo Bazar Ramadan bersebelahan Menara Condong Teluk Intan di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan dibuat selepas sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sedang menjalankan tugas pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) di ekspo tersebut.
Menurutnya, anggota polis melihat sejumlah mercun di atas sebuah meja di hadapan kedai di salah satu khemah ekspo tersebut sebelum seorang lelaki mengaku menjual mercun tersebut.
"Pihak polis telah meminta lelaki berkenaan mengemukakan lesen menjual bunga api dan mercun tersebut, namun dia gagal mengemukakan sebarang lesen.
"Disebabkan itu, peniaga berkenaan ditahan dan kesemua 11 jenis mercun yang dijual turut dirampas seterusnya dibawa ke IPD Hilir Perak untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan mercun tersebut diperoleh di kawasan Manjung dan telah menjual mercun di tempat itu sejak dua hari.
Ahmad Adnan berkata, kes disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957 dan suspek direman bagi membantu siasatan.
"Orang ramai diingatkan supaya tidak membeli dan bermain mercun di musim perayaan ini bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku ke atas mereka.
"Manakala penjual juga diingatkan supaya tidak menjual mercun serta bunga api tanpa permit yang sah dan dibenarkan oleh pihak polis," katanya.
Ahmad Adnan berkata, pihaknya akan meneruskan operasi tersebut dari semasa ke semasa bagi mencegah penjualan mercun dan bunga api secara haram yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai terutama ketika musim perayaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!