Pasar penuh, orang ramai buat persiapan akhir
BAYAN BARU - Beberapa pasar di negeri ini penuh apabila orang ramai mula membeli barangan basah dan keperluan dalam membuat persiapan akhir untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
Tinjauan di Kompleks Pasar Bayan Baru dan Pasar Hari Sungai Ara mendapati, orang ramai mula memenuhi ruang penjualan barang basah sejak jam 7 pagi.
Antara gerai yang menjadi tumpuan adalah ayam segar; daging lembu; daging kambing, santan dan bahan kering antaranya bawang, cili kering dan rempah ratus.
Selain penduduk tempatan, pengunjung pasar itu juga terdiri daripada mereka yang baru pulang dari ibu kota ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan hari raya bersama keluarga tersayang.
Suri rumah, Noor Aniza Sulaiman, 40 berkata, dia mula keluar rumah selepas solat Subuh untuk membeli barangan basah antaranya daging lembu, ayam dan ikan untuk dimasak pada hari raya kelak.
Dia yang baru tiba dari Sepang, Selangor pada Khamis berkata, dia menunggu hampir setengah jam untuk membeli daging lembu dan ayam.
"Saya keluar rumah selepas Subuh tadi, bimbang orang ramai di pasar. Syukur, walaupun orang agak ramai, namun belum sampai tahap sesak lagi.
"Bagaimanapun, untuk mendapatkan barang yang sinonim dengan musim perayaan seperti daging lembu, ayam dan santan, memang kena beratur. Bagi saya, buat persiapan tiga hari awal lebih mudah, nanti tak perlu berasak-asak.
"Semua orang nak beli, bimbang juga bahan makanan kehabisan bekalan. Oleh itu, persiapan awal lebih baik dari saat akhir (last minute)," katanya ketika ditemui di Pasar Hari Sungai Ara, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, pekerja kilang, Asma Kassim, 57 berkata, dia bersama abang dan kakak iparnya tiba di Pasar Bayan Baru pada jam 7 pagi bagi membeli barangan keperluan tambahan sebelum menyambut hari raya.
"Sebenarnya saya sudah beli sejak minggu lepas, tetapi biasa lah, nak raya ini, ada saja yang nak ditambah. Hari ini, saya beli ayam, ikan, telur dan beberapa barang kering untuk dimasak malam raya nanti.
"Sementara ada peluang, saya, abang dan kakak ipar datang pasar untuk beli apa yang patut. Hari raya tahun ini, lain sikit selepas dua tahun tidak dapat beraya seperti biasa. Saya tak sabar nak sambut raya dengan anak-anak," katanya.
Surirumah, Sabariah Jaafar, 61 berkata, walaupun harga barangan agak mahal, dia tetap membeli seberapa yang mampu demi menyambut kepulangan anak cucu yang dijangka akan tiba pada malam Sabtu.
"Harga barang memang ada yang mahal, tetapi tak apa lah, kita sebagai pengguna, tetap kena beli juga. Tahun ini, hari raya bagi saya istimewa sikit sebab semua anak-anak, menantu dan cucu pulang ke rumah saya di Sungai Ara.
"Selain itu, saudara mara juga sudah beritahu akan datang berkumpul di rumah saya. Oleh itu, hari ini saya dan suami datang beli beberapa bahan mentah untuk tambahan kerana bimbang tidak cukup nanti.
"Nasib baik datang awal kerana orang dilihat semakin ramai. Semua nak beli barang untuk dimasak pada hari raya nanti. Saya dan suami tidak suka bersesak, sebab itu kami datang awal, dan selesai pun awal," katanya.
Dalam pada itu, peniaga santan, Ahmad Aidil Taher, 34 berkata, dia menjual empat hingga lima tan isi kelapa dan tiga tan santan sejak empat hari lalu.
Menurutnya, permintaan pada tahun ini amat tinggi berikutan kerajaan membenarkan hari raya disambut seperti biasa selepas dua tahun negara dilanda Covid-19.
"Sejak empat hari lalu, pelanggan memang ramai. Penjualan pun meningkat, sehari kami mampu meraih RM4,000 hingga RM5,000.
"Walaupun permintaan tinggi, jangan risau, bekalan mencukupi. Kami akan buka (gerai) sehingga Isnin ini. Kepada pelanggan yang belum sempat membeli, ada beberapa hari lagi untuk mereka membuat persiapan terakhir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!